Ban pecah punca banjir termenung di Hilir Perak, kata MB

Ban pecah punca banjir termenung di Hilir Perak, kata MB

Saarani Mohamad berkata kerajaan negeri telah memperuntukkan RM10 juta khusus untuk pembinaan ban bagi mengelak banjir berulang.

Menteri Besar Perak Saarani Mohamad berkata kejadian banjir termenung di Hilir Perak sejak 23 Okt lepas berpunca daripada ban yang dibina pecah. (Gambar Facebook APM)
TELUK INTAN:
Banjir termenung di Hilir Perak sejak 23 Okt lepas berpunca daripada ban yang dibina di bawah Rancangan Tebatan Banjir (RBT) pecah di Kampung Batu 9 dan Batu 10, Changkat Jong.

Menteri Besar, Saarani Mohamad, berkata sebelum ini kerajaan telah memperuntukkan RM10 juta khusus untuk pembinaan ban bagi mengelak kejadian banjir berulang, malah proses pelaksanaan projek terbabit masih berjalan.

Menurutnya, ia diperuntukkan sebelum kejadian ban pecah dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) juga telah mengenal pasti berlaku kejadian sama di kawasan lain.

“Ban yang dibina mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan, tapi ada ban lain yang terputus. Itulah menyebabkan air masih berterusan masuk.

“Air jika ada lubang sedikit pun ia akan masuk secara menderu hingga menyebabkan ban pecah yang mengakibatkan banjir dan sukar untuk mengalir keluar ke sungai. Ini menyebabkan air mengambil masa lama untuk surut,” katanya dalam sidang media selepas melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Chikus hari ini.

Terdahulu, beliau turut melawat PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak bersama Pengerusi Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan negeri Salbiah Mohamed.

Mengulas mengenai memindahkan mangsa banjir termenung di Changkat Jong ke penempatan baharu, Saarani berkata terdapat beberapa kekangan termasuk kewangan.

“Perkara ini telah dibangkitkan sebelum ini dan cadangan supaya diberikan tapak baharu bagi menempatkan keluarga yang sentiasa dilanda banjir ini jauh dari kawasan sungai, namun ia bergantung kepada mangsa banjir itu sendiri yang harus mempunyai modal untuk bina rumah baharu.

“Kerajaan negeri boleh cari tanah untuk dirikan rumah. Premium tanah biasanya RM500 sahaja tak mahal, tetapi kos membina rumah tinggi itu belum termasuk kos infra terutama jalan masuk ke penempatan baharu itu yang mungkin menelan belanja tinggi,” katanya.

Saarani berkata kerajaan negeri sudah memindahkan 15 keluarga dari Lorong Mesra Batu 7½ Changkat Jong yang paling terkesan banjir sebelum ini, ke Program Perumahan Rakyat (PPR) Jalan Laksamana, Teluk Intan sejak enam bulan lepas.

Beliau berkata pihaknya juga telah meminta JPS agar memohon peruntukan tambahan daripada kerajaan Persekutuan bagi kerja-kerja pembinaan ban baharu selain menyambung semula ban yang pecah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.