
Ahli Parlimen Ketereh Khlir Mohd Nor – antara wakil rakyat Bersatu yang bertanding atas logo bulan pada PRU15 berkata baiah bukan satu-satunya jalan menghalang tindakan peralihan sokongan, sebaliknya bergantung kepada individu.
“Kita memang dah buat (baiah) masa terima watikah, tetapi faham-fahamlah sifat manusia ni,” katanya kepada FMT.
“Bila dah sertai politik, baiah macam mana pun orang langgar juga. (Bergantung) kepada individu, kalau kita taat, takkan buat macam itu.”
Isnin lalu, Mursyidul Am PAS Hashim Jasin menggesa calon pilihan raya daripada Bersatu melafazkan baiah jika mahu bertanding menggunakan lambang bulan pada masa depan susulan dua wakil rakyat parti itu yang bertanding di Kelantan pada PRU15 menyatakan sokongan kepada Anwar.
Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Zahari Kechik (Jeli) bertanding di Kelantan pada pilihan raya lalu, di mana masing-masing menang dengan majoriti 163 undi dan 12,464 undi.
Hashim percaya baiah boleh membantu usaha mencegah peralihan sokongan kepada parti lawan. Amalan bai’ah sering dikaitkan calon pilihan raya daripada PAS.
Dalam pada itu, Khlir berharap wakil rakyat Bersatu terus istiqamah sebagai pembangkang, dan kekal berprinsip membawa amanah rakyat.
“Kalau kita mcm ni (tukar sokongan) kejap sana kejap sini (khuatir) rakyat tak percaya kita lagi.”
Sementara itu, Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata baiah bukan perkara baharu bagi semua calon pilihan raya, malah turut diamalkan parti lain.
“Isunya bukan baiah, tetapi sogokan, tawaran dari pihak sana,” kata ketua Pemuda Bersatu itu merujuk kepada dakwaan ada usaha kerajaan untuk menarik sokongan Ahli Parlimen.