
Wan Fayhsal berkata, dua individu itu dikenali sebagai “Datuk Botak” dan seorang bekas pegawai politik dikenal pasti dalam satu video tular di Facebook dan TikTok.
“Terdapat satu video yang menunjukkan identiti ‘Datuk Botak’…yang memainkan peranan untuk menyogok dan mengugut Ahli Parlimen pembangkang menyokong perdana menteri.
“Video tersebut juga menjelaskan peranan bekas pegawai politik dalam perkara ini,” kata Ahli Parlimen Machang dalam sidang media di Parlimen.
FMT tidak mendedahkan nama dua individu itu sementara menunggu komen mereka.
Wan Fayshal membuat pendedahan itu selepas Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail memberitahu Dewan Rakyat pagi ini, tiada laporan SPRM direkodkan berkait dakwaan empat Ahli Parlimen Bersatu disogok untuk menyatakan sokongan kepada perdana menteri.
Bagaimanapun, Wan Fayshal menolak jawapan Saifuddin dan berkata Pemuda Bersatu sudah membuat laporan polis tengah malam tadi.
Jumaat lalu, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata pihaknya sudah mengumpul bukti berhubung tawaran tertentu kepada Ahli Parlimen parti itu dan akan mengemukakan laporan kepada polis dan SPRM.
Beliau mendakwa, ada dalam kalangan mereka ditawar faedah berbentuk kewangan atau peruntukan, selain pembangunan di kawasan Parlimen masing-masing sebagai balasan menyokong kerajaan.
Empat Ahli Parlimen Bersatu itu adalah Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Zahari Kechik (Jeli).