Speaker minta Teo beri penjelasan kenyataan terhadap Ahli Parlimen Tasek Gelugor

Speaker minta Teo beri penjelasan kenyataan terhadap Ahli Parlimen Tasek Gelugor

Wan Saiful Wan Jan membawa usul supaya timbalan menteri itu dirujuk kepada jawatankuasa hak dan kebebasan.

Teo Nie Ching dikatakan telah salah faham kenyataan Wan Saiful Wan Jan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul meminta Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching menjelaskan kenyataannya berkait dengan ucapan Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan dalam sesi parlimen.

Ini susulan usul untuk merujuk Teo kepada jawatankuasa hak dan kebebasan yang telah dikemukakan Wan Saiful.

Dalam hantaran di Facebook, Wan Saiful mengesahkan menerima salinan surat diberikan Teo oleh Johari.

Ini berkait kenyataan Teo berhubung teguran Wan Saiful kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing susulan video yang tular menunjukkan menteri berkenaan mabuk dan menari di khalayak umum.

“Saya bawa usul ini kerana saya dapati pihak kerajaan seringkali memainkan sentimen 3R (agama, bangsa dan institusi diraja) apabila mereka tidak dapat menjawab sesuatu perkara,” katanya dalam hantaran itu.

Katanya, beliau sekadar memberi nasihat kepada Tiong supaya memberi contoh baik yang menjadi tanggungjawab seorang pemimpin tanpa membangkitkan isu agama atau bangsa.

Dalam sesi Parlimen pada 8 November lalu, Teo dikatakan salah faham kenyataan Wan Saiful itu dan mengarahkannya menunjukkan bahagian dalam tataetika yang mengatakan seorang menteri atau timbalan menteri bukan Muslim tidak boleh minum arak.

Wan Saiful berkata Teo memberi gambaran salah seolah-olah beliau mempersoal hak orang bukan Islam minum arak.

“Walhal ini bukan isu yang saya timbulkan,” katanya dengan menambah harapan bahawa Dewan Rakyat akan mengambil tindakan sewajarnya.

Teo mempunyai tempoh sehingga 17 Nov untuk menyerahkan jawapannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.