
Hajiji dilapor tidak menolak kemungkinan pilihan raya Sabah ke-17 diawalkan, malah berkata “kita kena bersedia” untuk menghadapinya.
“Tempoh kerajaan sekarang akan berakhir pada Oktober 2025 tetapi ia boleh diawalkan. Jadi, kita kena bersedia awal untuk menghadapi PRN,” katanya, menurut Harian Metro.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di tepian persidangan agung tahunan Gagasan Rakyat Sabah (GRS) di Kota Kinabalu, Sabah.
Di persidangan itu, Hajiji yang juga presiden GRS dalam ucapan dasarnya mahu bahagian dan cawangan parti itu “memperkemas jentera masing-masing” bagi menghadapi kemungkinan PRN lebih awal.
Beliau juga mahu kepimpinan parti mengelak “sebarang perselisihan” serta tidak lalai.
Dalam pada itu, beliau berkata GRS menghargai sokongan Pakatan Harapan Sabah dan wakil rakyat Umno yang menyatakan sokongan kepada gabungan itu, untuk menyelesaikan kemelut politik dan mentadbir negeri secara kerjasama.