
Kementerian Luar dalam kenyataan memaklumkan, sejurus selepas Nurul Ain dan suaminya tiba di Lintasan Sempadan Rafah, beliau dihubungi melalui panggilan video oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Menteri Luar Zambry Abdul Kadir.
Evakuasi itu dapat dilaksanakan dengan berkesan berikutan pertemuan antara perdana menteri dengan Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi semasa lawatan kerja ke Mesir pada 23 Okt lepas, serta penyelarasan lanjut oleh Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah dan Kedutaan Besar Malaysia di Amman.
Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah juga sedang menghulurkan bantuan konsular yang sewajarnya kepada mereka.
Kementerian Luar turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Mesir, Qatar, Kedutaan Besar Republik Arab Mesir di Kuala Lumpur dan Kedutaan Besar Qatar di Kuala Lumpur atas jalinan kerjasama serta keutamaan yang diberikan kepada Malaysia dalam usaha menjalankan proses evakuasi rakyat Malaysia yang berada di kawasan konflik Gaza.