Sirul dibebas dari pusat tahanan imigresen Australia

Sirul dibebas dari pusat tahanan imigresen Australia

Peguam Sirul Azhar Umar berkata, bekas anggota polis itu tidak akan dihantar pulang ke Malaysia kerana dia berdepan hukuman mati.

Sirul Azhar Umar bersama seorang lagi bekas pegawai polis disabitkan bersalah membunuh model Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada 2009.
PETALING JAYA:
Bekas anggota polis, Sirul Azhar Umar yang dijatuhkan hukuman mati atas pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada 2006, dibebaskan dari pusat tahanan imigresen di Australia.

Peguamnya, William Levingston mengesahkan kepada The Guardian bahawa Sirul antara berpuluh tahanan imigresen dibebaskan susulan keputusan Mahkamah Tinggi pada Rabu lalu.

Mahkamah memutuskan penahanan imigresen tanpa tempoh ditetapkan menyalahi undang-undang, sekali gus membatalkan keputusan pada 2004 bahawa warga asing tiada visa boleh ditahan tanpa had masa, selagi kerajaan berhasrat mengusir mereka secepat mungkin.

Levingston berkata, Sirul tidak akan dihantar pulang ke Malaysia kerana dia berdepan hukuman mati.

“Anak guam saya berdepan hukuman gantung di Malaysia atas sabitan membunuh dan sehingga hukuman mati dimansuhkan kerajaan Malaysia, kerajaan Australia tidak dapat menghantar Sirul Umar pulang atas kewajipan tiada penghantaran pulang secara paksa.”

Dalam wawancara bersama The Sydney Morning Herald, anak lelaki Sirul berpangkalan di Australia, Shukri Azam mengesahkan bapanya sudah dibebaskan.

“(Dia) bersama saya sekarang dan saya urus semuanya bagi pihaknya sekarang.”

Sebelum ini, Shukri dilaporkan berkata, beliau dan bapanya tidak bercadang pulang ke Malaysia, walaupun hukuman mati mandatori bagi jenayah serius, termasuk pembunuhan, dimansuhkan.

Altantuya ditembak di kepala pada 2006 di sebuah hutan di Puncak Alam, Selangor. Mayatnya kemudian diledakkan dengan bahan letupan.

Sirul dan bekas anggota polis, Azilah Hadri disabitkan bersalah oleh Mahkamah Tinggi pada 2009 kerana membunuh Altantuya, yang disifatkan sebagai penterjemah.

Mereka berjaya membatalkan sabitan itu di Mahkamah Rayuan pada 2013, tetapi Mahkamah Persekutuan mengembalikan sabitan itu pada 2015 dan menjatuhkan hukuman mati.

Sirul melarikan diri ke Australia sebelum keputusan akhir dibuat. Dia ditempatkan di pusat tahanan imigresen Villawood sejak 2015, selepas ditahan polis Australia. Permohonan pertamanya untuk suaka politik di Australia ditolak pada 2019.

Azilah kini menunggu pelaksanaan hukuman mati di Penjara Kajang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.