Pencari suaka Sri Lanka harap Deepavali bawa masa depan lebih cerah

Pencari suaka Sri Lanka harap Deepavali bawa masa depan lebih cerah

Vishva dan Vathsala berharap diberikan status rasmi sebagai pelarian oleh UNHCR tidak lama lagi.

Warga Sri Lanka, Vishva dan isterinya, Jana mencari suaka di Malaysia. (Moganraj Villavan @ FMT Lifestyle)
PETALING JAYA:
Sepanjang hayat mereka, Vishva dan isterinya Vathsala, yang berasal dari Jaffna, Sri Lanka, hidup dalam zaman perang.

Ketika perang saudara bermula pada 1983 di tanah airnya, Vishva baru berusia lima tahun, manakala Vathsala, yang lebih mesra dipanggil Jana, dilahirkan selepas konflik itu bermula. Perang yang dahsyat itu terus berlangsung selama lebih dua dekad.

Bercakap dengan FMT Lifestyle, Vishva, 45, terkenang waktu beliau terpaksa berlindung di bunker apabila mendengar bom di rumah atau sekolah.

Apabila ditanya bagaimana Pesta Cahaya disambut pada “zaman hitam” itu, beliau berkata, tiada apa yang disambut pada masa itu, baik sambutan Ponggal, hari lahir mahupun Deepavali.

“Kami tiada makanan,” celah Jana, 39.

Pada 2002, keadaan menjadi lebih aman. “Tahun itu, kami sangat gembira. Kami fikir tidak akan ada lagi peperangan dan ia akan menjadi permulaan kepada kehidupan yang aman,” kata Vishva.

Semasa Diwali, “kami pergi ke kuil, mengunjungi rakan dan sanak saudara, serta mengumpul ‘ang pow’,” tambah Jana sambil ketawa.

Membesar dalam zaman pergolakan di Sri Lanka, Vishva dan Jana masih tercari-cari keamanan dalam kehidupan mereka sekarang. (Moganraj Villavan @ FMT Lifestyle)

Malangnya, tragedi terus membelenggu kehidupan mereka, apabila pada 2006, bapa Jana maut ditembak ketika dalam perjalanan pulang dari kuil.

Pasangan itu berkahwin pada 2011 dan, pada tahun berikutnya, datang ke Malaysia. Bagaimanapun, perang yang telah berakhir dua tahun sebelum itu meninggalkan parut – Vishva cedera dalam letupan bom dan kehilangan abangnya, manakala Jana ditembak di kaki, dan usus dan rahimnya cedera kritikal akibat letupan bom.

Harapan menanti?

Walaupun perpindahan mereka ke Malaysia membawa sinar harapan, lama-kelamaan Vishva dan Jana sedar bahawa kehidupan mencari suaka bukanlah seindah yang disangka.

“Ribuan orang jadi pelarian selepas meninggalkan negara dan keluarga mereka, mengejar kehidupan yang aman. Apabila tiba di tempat baharu, mereka tidak dapat memberi anak-anak mereka pendidikan, malah tiada hak bagi sekecil-kecil perkara,” kata Vishva.

Antara cabaran dihadapi pasangan itu termasuk mencari kerja tetap, walaupun dikategorikan sebagai pencari suaka. Mereka berharap diberikan status rasmi sebagai pelarian oleh Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Ketika wabak, Vishva dan Jana berkongsi video masakan di YouTube. (Moganraj Villavan @ FMT Lifestyle)

Tidak berputus asa, Vishva dan Jana cuba memanfaatkan situasi mereka sebaik mungkin. Contohnya, ketika wabak melanda, mereka berkongsi video masakan lauk-pauk seperti kari ayam gaya Jaffna dan puttu di saluran YouTube “Yarl Tamil Kitchen”.

Sehingga kini, saluran YouTube pasangan itu dilanggan lebih 20,000 pengguna.

Mengenai Deepavali di Malaysia, mereka berkata, musim perayaan itu semestinya lebih meriah berbanding sambutan mereka di Sri Lanka. Bagaimanapun, walaupun diceriakan dengan bunga api dan hiasan mewah di kompleks beli-belah, mereka masih rasa seperti “orang luar”.

“Sepanjang 10 tahun di sini (Malaysia), kami tak pernah sambut Deepavali,” kata Jana.

“Kami tak terlalu fikir tentang Deepavali atau sambutan lain disebabkan kekangan kewangan. Ibu bapa kami (di Sri Lanka) turut berdepan cabaran sama,” kata Vishva.

Vishva dan Jana menjamu FMT Lifestyle dengan hidangan yang menyelerakan, termasuk peratal ayam yang lazat ini. (Moganraj Villavan @ FMT Lifestyle)

Walaupun berdepan kesulitan, pasangan ini berbesar hati menyambut kunjungan FMT Lifestyle ke rumah mereka dengan hidangan peratal ayam, nasi saffron, sambar, telur dan kesari, mengingatkan mereka pada sambutan Diwali di kampung halaman.

Selain rasanya yang lazat, hidangan yang dijamu Vishva dan Jana membayangkan kemesraan dan layanan baik yang sinonim dengan rakyat Malaysia, diamalkan oleh warga asing yang mencari perlindungan di negara ini, demi kehidupan yang lebih baik dan bahagia.

“Saya harap Deepavali kali ini akan membawa kesenangan (buat kami), dan kami akan dapat menyambutnya sebagai pelarian dan hidup lebih baik.

“Selamat Hari Deepavali kepada semua,” ucap Vishva.

Ikuti Yarl Tamil Kitchen di Facebook, Instagram, YouTube dan TikTok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.