
“Ibunya sabar tunggu dia pulang,” Karthigesu beritahu FMT.
Anak lelakinya, yang berusia 19 tahun ketika itu, dihukum penjara 25 tahun di Kemboja pada 2016 selepas disabitkan kesalahan menyeludup dadah.
Karthigesu berkata, anaknya diperdaya sindiket pengedaran dadah ketika ke Phnom Penh pada 2016 bersama teman wanitanya, kakaknya dan teman lelaki kakaknya.
Awal tahun ini, Karthigesu meminta bantuan Putrajaya membawa pulang Hemakavin, tetapi gagal.
Katanya, malam Deepavali dahulunya meriah dengan Hemakavin mempelawa rakan ke rumah mereka di Klang. Anak sulung daripada tiga beradik itu menantikan pesta cahaya untuk melawat saudara-maranya.
Namun, semuanya berubah pada Oktober 2016 selepas Hemakavin ditahan di Phnom Penh.
“Kami tidak menyambut Deepavali pada 2017 dan hanya duduk di rumah. Kami sangat sedih dan menangis hari itu.
“Tahun berikutnya, kami perlahan-lahan membenarkan diri menyambut Deepavali secara sederhana. Tahun ini tidak terkecuali,” katanya.
Ibunya kemurungan akibat ketiadaan Hemakavin, begitu juga Karthigesu buat seketika selepas anaknya ditahan.

Lukisan tertera perkataan “Ayah wira saya. Anda yang terbaik” tergantung di dinding bilik Hemakavin, dilakarnya ketika berusia lima tahun, mendorong Karthigesu terus tabah buat diri dan keluarganya.
Beliau sedih setiap kali menerima panggilan telefon daripada Hemakavin.
“Setiap kali kami bercakap melalui telefon, saya sedih. Tetapi, dia meyakinkan saya suatu hari nanti dia akan pulang. Mungkin dia kata demikian demi menyedapkan hati saya,” katanya sambil menambah kali terakhir beliau dihubungi anaknya awal tahun ini.
Karthigesu berkata, Hemakavin diperdaya ketika ditahan di Phnom Penh. Rakan memintanya mendaftar masuk ke sebuah hotel, di mana mereka beritahu akan menemuinya kemudian atas alasan perlu menyelesaikan masalah berkaitan tiket penerbangan mereka.
Tetapi katanya, Hemakavin diserang hendap polis Kemboja sebelum masuk ke bilik hotel.
Beliau mendakwa polis menyerahkan sebuah kotak mengandungi dadah kepada Hemakavin dan mengambil gambarnya memegang kotak itu serta cap jarinya pada kotak itu dijadikan bukti di mahkamah.