
Ismail memuji keberanian beberapa negara Amerika Selatan dan Eropah bersuara terhadap kekejaman Israel dan menggesa gencatan senjata dalam konflik di Palestin.
“Malah, beberapa Ahli Parlimen di UK serta Anggota Kongres Amerika Syarikat, Rashida Tlaib secara terbuka mengecam Israel.
“Keberanian ini sepatutnya memangkin OIC dan negara Arab supaya lebih berani menekan Israel dan tidak menjadi alat kepada AS.
“Dunia semakin sedar rejim aparteid Zionis sedang melakukan penghapusan etnik,” katanya.
Hari ini, Sidang Kemuncak Tergempar OIC kali kelapan bermula di Riyadh, ibu negara Arab Saudi, yang dihoskan Putera Mahkota dan Perdana Menteri Arab Saudi, Mohammed Salman.
Sidang kemuncak itu akan turut dihadiri pemimpin dan wakil negara anggota OIC, termasuk Malaysia diwakili Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Menteri Luar Zambry Abdul Kadir.
Dalam pada itu, Ismail turut mempersoalkan sama ada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) masih relevan, selagi masih wujud kuasa veto.
“Pada pandangan saya, selagi badan utama dunia ini mengamalkan konsep kuasa veto, maka selagi itulah PBB tidak mempunyai sebarang makna,” katanya dalam rencana yang diterbitkan Utusan Malaysia.
“Apakah PBB akan turut menerima nasib yang sama dengan Liga Bangsa-bangsa yang dibubarkan pada 1945 kerana gagal menghalang Perang Dunia Kedua?”
Beliau turut mengulangi gesaan kuasa veto dihapuskan segera “demi keamanan sejagat”.
Pada masa sama, Ismail menggesa rakyat Malaysia bersatu menyokong Palestin demi kemanusiaan dan keadilan.
“Kita di Malaysia tidak perlu berpecah dalam perkara ini kerana sudah jelas ini adalah penjajahan paling kejam.
“Jangan terpengaruh dengan propaganda media barat bahawa episod hitam ini berpunca daripada Hamas,” katanya.