Pengusaha taska, tadika bergelut serap kos operasi

Pengusaha taska, tadika bergelut serap kos operasi

Pengusaha menampung kos seperti gaji, barangan basah, bil utiliti, permit operasi, sewa, dan kursus tenaga pengajar.

Yuran bulanan taska dan tadika semakin meningkat seiring peningkatan kos operasi.
KLANG:
Pengusaha pusat asuhan dan pendidikan awal kanak-kanak kini dalam dilema mengekalkan yuran bulanan berpatutan untuk ibu bapa, tetapi pada masa bergelut dengan kenaikan kos operasi.

Beberapa pengusaha ditemui FMT mengakui terpaksa menyerap peningkatan perbelanjaan seperti gaji guru dan barangan basah serta kering selain permit operasi dianggarkan RM2,000 setahun serta kursus tenaga pengajar.

Permit operasi itu dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Pengusaha Taska dan Tadika Seri Melor di Klang, Habibah Shaari berkata kos boleh meningkat lagi jika berlaku penularan penyakit yang memerlukan mereka melakukan sanitasi premis dengan anggaran perbelanjaan di antara RM300 hingga RM600.

“Gaji guru paling minimum RM1,500 manakala guru lama gajinya makin tinggi…perlu bayar elektrik, air, telefon, internet selain sewa bangunan, dan penapis air.

“Untuk keperluan dapur, barangan kering sahaja dulu RM1,500 sebulan tetapi sekarang RM1,800 untuk sebulan, barang basah pula kita belanja RM700 seminggu,” katanya yang juga timbalan pengerusi Persatuan Pengusaha Tadika Swasta Klang.

Katanya, di sebalik peningkatan kos operasi itu mereka tidak boleh sewenang-wenangnya menaikkan yuran bulanan sesuka hati kerana dipantau pihak berkuasa.

Habibah Shaari.

Namun Habibah mempunyai cara sendiri meringankan beban kewangannya dengan membuka dobi layan diri yang keuntungannya dimasukkan terus ke dalam akaun taska dan tadikanya.

“Kalau orang kata nak kaya bukalah perniagaan taska tadika, jawapannya tak,” seloroh Habibah.

Sementara itu, seorang pekerja swasta Nor Fatiha Bangsawan berkata sebagai ibu dia sedar dengan yuran bulanan semakin meningkat, selaras perubahan kos operasi.

“Nak atau tak saya kerja dan perlu hantar anak ke taska juga. Sekarang kos hidup tinggi,” katanya.

Bagi penjawat awam, Aini Ahmad, ibu bapa memerlukan perkhidmatan tadika dan taska memandangkan mereka perlu menghantar anak ketika bekerja.

“Tak boleh salahkan taska dan tadika (naik yuran bulanan). Kita perlukan perkhidmatan mereka, begitu juga sebaliknya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.