
Petisyen Teh Hock Leong, yang menjadi banduan akhir sejak 20 tahun lepas, adalah yang pertama daripada 25 kes yang akan disemak.
Mahkamah Persekutuan sebelum ini menolak rayuan terakhir mereka bagi kesalahan yang diperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara sepanjang hayat.
Ini akan menjadi detik bersejarah apabila mahkamah tertinggi mula mendengar 11 permohonan semakan pada Selasa, diikuti 14 lagi pada Khamis.
Permohonan-permohonan itu difailkan bawah Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023.
Teh ditahan di KLIA pada 27 Jun 1999 kerana mengedar 580.3g methamphetamine.
Dia kemudian direman di penjara kerana ikat jamin tidak dibenarkan bagi sesiapa dituduh melakukan kesalahan yang diperuntukkan hukuman mati, sementara menunggu keputusan perbicaraan.
Pada 15 Sept 2003, Mahkamah Tinggi Shah Alam mensabitkan kesalahan terhadap Teh dan menjatuhkan hukuman mati mandatori ke atasnya.
Teh, yang berkahwin dengan warga Thailand, gagal dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan pada 23 Okt 2009.
Peguam mewakili Teh, Guok Ngek Seng, yang akan tampil bersama Hisyam Teh Poh Teik pada Selasa, berharap dapat meyakinkan panel untuk meringankan hukuman mati kepada hukuman penjara mengikut keadaan kes Teh.
Undang-undang yang memansuhkan hukuman mati mandatori diluluskan oleh Parlimen awal tahun ini dan berkuat kuasa pada 4 Julai. Undang-undang tersebut memberikan pilihan kepada hakim untuk sama ada mengenakan hukuman mati atau hukuman penjara.
Bagi kes pengedar dadah, mahkamah boleh menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup sehingga 30 tahun dan minimum 12 sebatan bagi banduan lelaki bawah usia 50 tahun.
Teh malah boleh dibebaskan jika semakannya dibenarkan dan hukuman penjara maksimum 30 tahun dikenakan, kerana banduan dikurangkan satu pertiga hukuman mereka atas kelakuan baik, kata Guok.
Dia juga akan terselamat daripada hukuman sebat kerana kini berusia 52 tahun.
“Keluarga Teh berharap dengan peluang sekali seumur hidup yang diberikan, dia akan membuka lembaran baharu.
“Ahli keluarganya banyak memberi sokongan dan akan cuba sedaya upaya untuk membantunya,” tambah Guok.
Awal minggu ini, Timbalan Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi Ramkarpal Singh memberitahu Dewan Rakyat bahawa Mahkamah Persekutuan menerima 924 permohonan semakan setakat 31 Okt.
Beliau berkata, kerajaan telah memperuntukkan kira-kira RM12 juta untuk membiayai proses itu, termasuk untuk bantuan guaman.