‘Ada peruntukan baiki padang’, pemimpin PAS dakwa diberitahu Ahli Parlimen Gua Musang

‘Ada peruntukan baiki padang’, pemimpin PAS dakwa diberitahu Ahli Parlimen Gua Musang

Azman Ahmad berkata Mohd Azizi Abu Naim memaklumkan perkara itu minggu lalu, sebelum beliau mengisytharkan menyokong Anwar Ibrahim pada 7 Nov.

Mohd Azizi Abu Naim berkata beliau menyokong Anwar Ibrahim bagi memastikan kebajikan penduduk di kawasannya terbela.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin PAS mendakwa Ahli Parlimen Gua Musang Mohd Azizi Abu Naim memberitahunya akan ada peruntukan membaiki padang bola sepak, beberapa hari sebelum beliau menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Yang Dipertua PAS Gua Musang Azman Ahmad berkata Azizi yang juga Adun Nenggiri memaklumkan perkara itu dalam pertemuan mereka dalam satu pertandingan bola sepak, minggu lalu.

Menurutnya, Azizi tidak menunjukkan sebarang perubahan menunjukkannya ingin mengalih sokongan dan sebab itu beliau terkejut apabila pemimpin Bersatu itu mengumumkan menyokong Anwar, Selasa lalu.

“Cuma beliau sebut ada peruntukan baiki padang bola nak turun mari (disalurkan),” katanya kepada FMT.

Azman berkata pihaknya juga terkejut dan terkilan dengan perkembangan itu, namun beliau enggan mengulas lanjut kerana belum mendapat gambaran sebenarnya.

“Saya tak boleh nak komen sebab saya tak tahu cerita pasal dia, saya tak dapat hubungi kedua-dua telefonnya,” katanya.

FMT telah menghubungi Azizi untuk mengulas perkara itu.

Pada PRU15, Azizi yang bertanding menggunakan logo bulan PAS menewaskan Tengku Razaleigh Hamzah dari Barisan Nasional, penyandang di Parlimen Gua Musang selama 11 penggal.

Selasa lalu, Azizi mengumumkan menyokong Anwar bagi memastikan kebajikan penduduk di kawasannya terbela dan mendapat pelbagai manfaat termasuk peningkatan kemudahan infrastruktur.

Keesokannya, Ahli Parlimen Jeli Zahari Kechik, juga dari Kelantan mengambil tindakan sama, mengikut jejak Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Kesemua wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) itu memberi alasan sama iaitu demi pembangunan dan kebajikan penduduk di kawasan diwakili mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.