Wakil kampung Orang Asli bantah cadangan Kelantan ubah suai kawasan sensitif

Wakil kampung Orang Asli bantah cadangan Kelantan ubah suai kawasan sensitif

Cadangan ubah suai kawasan sensitif alam sekitar dikatakan akan beri kesan kepada lebih 20,000 penduduk dan 15 kampung, kata Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan.

Lima NGO meminta kerajaan Kelantan tidak melaksanakan cadangan ubah suai kawasan sensitif alam sekitar. (Gambar Bernama)
KOTA BHARU:
Lima badan bukan kerajaan (NGO) bersama wakil penduduk dari 15 kampung Orang Asli Gua Musang menyerahkan memorandum bantahan kepada kerajaan Kelantan berhubung cadangan pengubahsuaian kawasan sensitif alam sekitar (KSAS) seluas 514,898 hektar hutan.

Bantahan itu rayuan kepada kerajaan negeri agar tidak melaksanakan cadangan terbabit, kata Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan Mustafa Along.

“Cadangan itu akan memberi kesan kepada lebih 20,000 penduduk Orang Asli di Gua Musang dan di Tanah Tinggi Lojing, membabitkan 15 kampung termasuk Debak, Angkek, Bog Panes, Tohoi, Simpor, Gob, Pasik, Balar, dan Belatim.

“Kami mahu pihak kerajaan negeri memikirkan supaya cadangan KSAS itu tidak dilaksanakan,” katanya kepada pemberita di perkarangan Kota Darulnaim.

Mustafa berkata KSAS turut meningkatkan lagi konflik antara haiwan liar dengan manusia kerana sebelum ini sudah ada dua kes kematian membabitkan penduduk Orang Asli yang dibaham harimau.

“Kita sedang mengalami kemerosotan hutan dan jika KSAS dilaksanakan, hutan kita akan jadi semakin mengecil, sebaliknya kerajaan negeri perlu mencari alternatif untuk mencari sumber pendapatan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Aktivis Sahabat Alam Hafizudin Nasarudin berkata pemansuhan itu membabitkan sebahagian besar Hutan Simpanan Kekal (HSK).

“Ia akan memberi kesan kepada masalah air penduduk di Kelantan yang dilihat semakin meruncing.

“Kita menyeru kepada semua pihak termasuk rakyat Kelantan untuk menghantar surat bantahan kepada kerajaan negeri,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Biro Basmi Kemusnahan Hutan Kelantan Mohd Hisyamuddin Ghazali berkata sekiranya projek itu dilaksanakan berkemungkinan banjir besar seperti 2014 akan berulang.

“Kami akan bawa isu ini kepada Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad dan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming bagi memastikan cadangan KSAS ditolak,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.