
Hakim Azhar Abdul Hamid mengarahkan bekas menteri belia dan sukan itu dihukum penjara tiga tahun dan satu sebatan untuk kesalahan pecah amanah.
Bagi kesalahan salah guna harta milik Pemuda Bersatu atau dikenali sebagai Armada, Syed Saddiq dihukum penjara dua tahun dan satu sebatan.
Azhar juga menjatuhkan hukuman penjara empat tahun dan denda RM10 juta terhadap Syed Saddiq untuk dua kesalahan pengubahan wang haram.
Jika gagal membayar denda, Syed Saddiq, 30, boleh dipenjara empat tahun.
Mahkamah mengarahkan semua hukuman penjara itu dijalankan secara berasingan.
Azhar juga membenarkan permohonan pembelaan untuk menangguhkan hukuman penjara, denda, dan sebatan itu sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.
Beliau juga membenarkan semua syarat jaminan termasuk wang jaminan RM300,000 yang dikenakan terhadap Syed Saddiq dikekalkan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin menegaskan hukuman berat perlu dikenakan kerana jenayah kolar putih seperti pecah amah semakin berleluasa dalam kalangan ahli politik.
“Satu mesej jelas perlu diberikan kepada ahli politik di luar sana supaya berfikir banyak kali sebelum melakukan jenayah,” katanya yang menambah, mahkamah perlu mendahulukan kepentingan awam daripada kepentingan tertuduh.
Wan Shahruddin berkata Syed Saddiq juga mengkhianati kepercayaan rakyat yang mengundi beliau.
Peguam bela Haijan Omar pula memohon mahkamah mengenakan hukuman penjara yang minimum kepada Syed Saddiq.
Seorang lagi peguam Syed Saddiq Gobind Singh Deo berkata hukuman sebat dan denda untuk kesalahan ubah wang haram terletak pada budi bicara mahkamah.
Katanya, mahkamah perlu mempertimbangkan bahawa tertuduh menggunakan wang itu untuk membantu orang miskin dan mereka yang memerlukan ketika pandemik Covid-19.
Sementara itu, peguam Rafique Rashid Al berkata, walaupun sudah didapati bersalah, Syed Saddiq masih kekal Ahli Parlimen Muar sehingga semua saluran undang-undang untuk merayu habis digunakan.
“Atas faktor itu, Syed Saddiq masih boleh menghadiri sesi Dewan Rakyat, berbahas dan mengundi untuk sebarang usul atau apa sahaja,” katanya.