
“Mana mungkin peruntukan kerajaan jadi rasuah, tak mungkinlah.
“Bila kita sokong kerajaan, dasar kerajaan, inisiatif kerajaan, maka kita layak dapat apa wakil rakyat kerajaan dapat, itu sahaja. Saya tak faham di mana unsur rasuah,” kata Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) kepada FMT.
Suhaili mengulas tindakan Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim yang akan membawa usul berhubung dakwaan kerajaan mengamalkan rasuah kerana cuba menarik sokongan Ahli Parlimen pembangkang dengan memberikan peruntukan kepada mereka.
Semalam, FMT melaporkan Suhaili mengesahkan menerima peruntukan selepas seminggu mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 30 Okt lalu.
Sehingga kini empat wakil rakyat pembangkang daripada Bersatu termasuk Suhaili menyatakan sokongan terhadap pentadbiran Anwar.
Mereka adalah Ahli Parlimen Kuala Kangsar Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid, Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan terbaru semalam Zahari Kechik (Jeli).
Mengulas lanjut, Suhaili tidak risau dikritik berhubung tindakannya menyokong Anwar kerana jika berada di pihak pembangkang, beliau turut akan “dimaki” pengundi kerana tidak dapat membantu mereka.
“Mana yang saya pilih sekarang, saya jadi wakil rakyat yang berfungsi atau wakil rakyat hanya pada nama.
“Bila rakyat datang minta tolong, saya minta maaf, saya pembangkang tak boleh bantu apa-apa. Saya tak fikir itu yang rakyat mahu. Rakyat undi kita untuk jadi kerajaan cuma takdir menentukan, kita jadi pembangkang. Itu sahaja,” katanya.
Ditanya mengenai masa depannya pada PRU akan datang, Suhaili berkata “masa masih panjang” sambil memaklumkan buat masa ini beliau hanya mahu memfokuskan kebajikan pengundinya di Labuan.
“Selepas lima tahun, itu cerita lain, saya tak tahu sempat lagi (hidup)…Wallahu a’lam. saya cakap pasal sekarang, saya cakap pasal hari ini,” katanya.