Peguam hak asasi Singapura dipenjara kerana hina mahkamah

Peguam hak asasi Singapura dipenjara kerana hina mahkamah

Peguam itu membantu beberapa kes membabitkan keldai dadah, termasuk rakyat Malaysia, yang menunggu pelaksanaan hukuman mati di republik itu.

M Ravi berkata beliau tidak akan merayu hukuman penjara 21 hari dijatuhkan terhadapnya. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Mahkamah Tinggi Singapura menjatuhkan hukuman penjara 21 hari ke atas peguam hak asasi manusia, M Ravi kerana menghina dua hakim dalam mahkamah berasingan pada November 2021.

Satu daripada kes itu membabitkan pertikaian dengan hakim ketika pendengaran membabitkan rakyat Malaysia, Magendran Muniandy yang didakwa memalsukan pelbagai dokumen.

Ravi pernah membantu beberapa kes membabitkan keldai dadah dihukum mati di Singapura, termasuk rakyat Malaysia seperti Nagaenthran K Dharmalingam, yang didapati bersalah menyeludup 42.7g heroin ke negara itu.

Nagaenthran dihukum mati pada April 2022 selepas Mahkamah Rayuan Singapura menolak rayuan terakhir difailkan ibunya untuk mencabar keputusan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman mati terhadap anaknya.

“Mahkamah Tinggi baru menjatuhkan hukuman penjara 21 hari kepada saya berkuat kuasa hari ini kerana menghina mahkamah. Saya rasa hukuman itu sangat keras memandangkan kes terdahulu yang saya petik,” kata Ravi dalam catatan Facebook semalam.

Katanya beliau juga diarahkan membayar kos SGD10,000 kepada Jabatan Peguam Negara.

“Saya memutuskan tidak merayu kerana perlu membayar SGD20,000 sebagai jaminan kos kepada Jabatan Peguam Negara, jika saya berbuat demikian. Saya akan menjalani hukuman itu serta-merta kerana tahu sejarah akan menyebelahi saya.”

The Straits Times melaporkan Ravi berulang kali menuduh Hakim Audrey Lim “berat sebelah”, mengganggunya dan memintanya tidak bersikap kurang ajar.

Ini berlaku ketika beliau mewakili bekas pemandu bas SBS Transit, Chua Qwong Meng dalam saman Mahkamah Tinggi terhadap pengendali pengangkutan awam itu.

Ravi turut menuduh Hakim Chay Yuen Fatt bersikap berat sebelah, selepas pertikaian berhubung sebab beliau dijadualkan untuk dua perbicaraan pada pagi hari sama. Ini berlaku ketika kes jenayah di Mahkamah Negeri membabitkan Magendran.

Pada 31 Mac lalu, Hakim Hoo Sheau Peng mendapati Ravi bertanggungjawab atas sembilan kes penghinaan mahkamah.

Ravi memberi alasan beliau mengalami gangguan bipolar berulang ketika itu kerana terlupa “makan ubat beberapa hari”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.