Mesyuarat tergempar Bersatu bincang 2 Ahli Parlimen sokong PM, kata Muhyiddin

Mesyuarat tergempar Bersatu bincang 2 Ahli Parlimen sokong PM, kata Muhyiddin

Muhyiddin Yassin berkata mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu itu akan diadakan akan malam ini.

Mohd Azizi Abu Naim dan Zahari Kechik menjadi Ahli Parlimen Bersatu terbaru yang menyokong pentadbiran Anwar Ibrahim.
PETALING JAYA:
Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata parti itu akan mengadakan mesyuarat tergempar malam ini susulan tindakan dua lagi Ahli Parlimennya menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Zahari Kechik (Jeli) mengikut jejak langkah Iskandar Dzulkarnain Abdu Khalid (Kuala Kangsar) serta Suhaili Abdul Rahman (Labuan) yang terlebih dahulu berbuat demikian pada bulan lalu.

Menurut Muhyiddin, tindakan itu bercanggah dengan pendirian dan telah melanggar disiplin parti selain membelakangi mandat rakyat yang memilih mereka atas dasar keyakinan terhadap prinsip perjuangan Perikatan Nasional (PN).

“Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu akan mengadakan mesyuarat tergempar malam ini untuk membincangkan perkembangan terbaharu ini,” katanya dalam kenyataan.

Muhyiddin yang juga pengerusi PN berkata beliau mendapat maklumat ada gerakan terancang daripada parti lawan untuk melemahkan Bersatu dan PN dengan sokongan serta ugutan terhadap Ahli Parlimen.

“Bersatu tidak akan tunduk terhadap pakatan jahat ini dan tindakan yang lebih tegas akan diambil,” katanya.

Sebelum ini, empat Ahli Parlimen PN yang menyokong Anwar itu mendakwa berbuat demikian bagi memastikan perkhidmatan kepada rakyat tidak terganggu dalam mendapatkan peruntukan kerajaan pusat.

Iskandar dan Suhailu sudah dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Lembaga Disiplin Bersatu yang menggantung keahlian mereka masing-masing empat serta enam tahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.