
Peniaga pakaian, N Thanaletchimi, 56, berkata pembeli kini lebih berhati-hati dalam membelanjakan wang mereka. Malah katanya hasil jualannya berkurangan daripada RM1,000 sehari tahun lalu kepada sekitar RM400 sehari.
“Bazar dibuka dua minggu, tetapi tidak ramai yang datang sini. Mereka yang lalu di sini langsung tidak menyentuh pakaian, dan mereka yang berminat sekalipun hanya membeli baju berharga RM20, bukan yang berharga RM35,” katanya kepada FMT.
M Shanti, 32, yang berniaga aksesori dan kuih-muih berkata ramai pelanggan tidak membeli barangan jualannya kerana beliau enggan mengurangkan harga.

“Bagi barangan tertentu, margin untung saya cuma RM4. Mana boleh mereka harapkan saya menurunkannya lagi?” katanya.
Seperti Thanaletchimi, Shanti juga kecewa dengan jualan yang lembap apabila hanya meraih untung sekitar RM200 sehari berbanding RM600 dinikmatinya pada tahun-tahun sebelum ini.
Beliau berharap cuaca lebih baik pada hari-hari akhir menjelang sambutan Deepavali pada Ahad, kerana menjangkakan ada yang mahu membuat pembelian saat akhir.
Sementara itu, peniaga pakaian R Thamilarasi, 43, turut mengakui mengalami jualan lebih sendu, yang dianggapnya akibat cuaca buruk selain pelanggan kurang berbelanja tahun ini.
“Jualan tahun ini sangat teruk. Saya berniaga di sini setiap tahun sejak tujuh tahun lalu dan selalunya pada hari bekerja mampu meraih sehingga RM1,500 sehari. Namun kini, untuk mencapai RM500 sekali pun sukar,” katanya.
R Mala, 40, yang menjual pakaian tradisional menyifatkan pembeli kini lebih gemar membeli dalam talian seterusnya menjejaskan kehadiran pengunjung ke bazar Deepavali.
Menurutnya, ramai peniaga dalam talian menjual dengan harga amat murah serta tidak kisah mendapat margin untung kecil, sebaliknya beliau sendiri tidak mampu berbuat demikian disebabkan kos operasi lebih tinggi.
Beliau malah mengakui tidak pasti mampu mendapat untung kecil sekalipun tahun ini.
“Saya bimbang kerana jualan kurang,” katanya.
“Saya berdiri di kedai ini dari 10 pagi hingga 2 pagi setiap hari sehingga kaki bengkak. Jika jualan sekadar cukup untuk pulang modal, ibarat saya bekerja tanpa gaji.”