
Pengarahnya Shaharuddin Mohd Kia berkata notis dikeluarkan sejak pelaksanaan pengapungan harga ayam dan penamatan subsidi bermula 1 Nov lalu.
Beliau berkata, notis dikeluarkan hasil pemantauan oleh 114 pegawai penguat kuasa dan 58 pegawai pemantau harga KPDN di premis pemborong dan peniaga ayam di seluruh negeri.
“Berdasarkan pemantauan, tiada masalah harga ayam di pasar raya kerana mereka membeli secara pukal. Tetapi, di pasar basah harga lebih tinggi disebabkan kaedah perniagaan.
“Kita dah keluarkan 34 notis kepada peniaga untuk mereka memberi sebab kenapa harga jualan begitu tinggi iaitu antara RM10.50 hingga RM11 sekilogram,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2023 di sebuah pasar raya.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Terengganu Ariffin Deraman.
Dalam pada itu, Shaharuddin berkata semua peniaga yang diberikan notis memberi kerjasama baik dan menurunkan harga ayam antara RM0.50 hingga RM1 sekilogram.
“KPDN akan terus menjalankan pemantauan bagi mengesan peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga sewenang-wenangnya. Bagaimanapun, setakat ini kita belum menerima sebarang aduan rasmi berkaitan kenaikan harga ayam yang mendadak,” katanya.
Shaharuddin berkata, antara barangan lain yang akan dikawal harga bawah skim tersebut ialah bawang besar import, bawang kecil India, cili merah, daging biri-biri import, kacang dal, kelapa dan tomato.
Tempoh pelaksanaan SHMMP Deepavali berlangsung seminggu bermula 9 hingga 15 Nov bertujuan menjamin kestabilan harga dan bekalan di peringkat pengguna serta peniaga.