Goldman Sachs mohon celah permohonan SPRM berkait bon 1MDB

Goldman Sachs mohon celah permohonan SPRM berkait bon 1MDB

Bank pelaburan itu berkata usaha SPRM mendapatkan dokumen berkenaan menyentuh kepentingannya.

Pihak pendakwaan berkata permohonan Goldman Sachs perlu diteliti. (Gambar fail)
KUALA LUMPUR:
Firma perbankan Goldman Sachs memohon untuk mencelah dalam prosiding yang dibawa oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mendapatkan dokumen daripada dua peguam dan firma guaman mereka, yang terbabit dalam penyelesaian antara kerajaan dan bank pelaburan itu berkait isu bon 1MDB bernilai USD6.5 bilion.

Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa pihak pendakwaan menerima salinan permohonan itu bersama dengan suatu afidavit, pada awal minggu ini.

“Kami perlu teliti permohonan untuk mencelah daripada Goldman Sachs ini,” katanya kepada Hakim Jamil Hussin semasa pengurusan kes untuk memindahkan pendengaran permohonan SPRM, yang dibuat terhadap peguam, Chetan Jethwani, dan Chetan & Co ke mahkamah yang lain.

SPRM mahu perkara itu didengari Hakim K Muniandy, yang sedang menghakimi permohonan SPRM untuk mendapatkan dokumen daripada peguam, Rosli Dahlan, dan Rosli Dahlan Saravana Partnership (RDS).

Chetan dan firma beliau mewakili Goldman Sachs dalam perjanjian penyelesaian itu.

K Kumaraendran, yang tampil selaku peguam bagi pihak Chetan, tidak membantah penangguhan prosiding pemindahan itu, sementara menunggu permohonan Goldman Sachs selesai.

Krishna Dallumah, yang mewakili Goldman Sachs dalam prosiding mencelah, berkata anak guamnya mahu mencelah kerana ia menyentuh kepentingannya.

SPRM pada 11 Okt lepas memfailkan dua usul kepada mahkamah, iaitu terhadap Rosli dan RDS serta Chetan dan firmanya.

Badan anti-rasuah itu mahu kedua-dua firma guaman itu memberikan dokumen berkait penyelesaian antara bank itu dan kerajaan, berhubung isu bon USD6.5 bilion.

SPRM berkata kedua-dua peguam itu tidak membenarkan anggotanya mencari dokumen itu semasa kunjungan pada 6 Okt.

Kedua-dua peguam itu berkata dokumen itu komunikasi istimewa antara anak guam dan peguamcara.

Jamil menetapkan 8 Jan ini untuk mendengar permohonan Goldman Sachs.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.