Fokus promosi STEM, bukan bersaing dengan PAS, kerajaan diberitahu

Fokus promosi STEM, bukan bersaing dengan PAS, kerajaan diberitahu

Pengerusi PAGE, Noor Azimah Abdul Rahim menggesa pusat STEM negara dihidupkan kembali untuk menggalakkan pelajar memilih subjek itu.

Noor Azimah Abdul Rahim berkata, Malaysia kehilangan bakat bertaraf dunia kerana tidak mampu melahirkan pencipta.
PETALING JAYA:
Kerajaan sepatutnya memfokuskan usaha mempromosi pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) di sekolah daripada cuba menonjolkan diri “lebih Islam daripada PAS”.

Pengerusi Kumpulan Ibu Bapa Bertindak Untuk Pendidikan (PAGE), Noor Azimah Abdul Rahim berkata penguasaan mata pelajaran STEM akan membolehkan negara melahirkan bakat bertaraf dunia.

Bercakap kepada Shireen Muhiudeen dalam rancangan bual bicara FMT “Stakeholders, with Shireen”, Azimah berkata, kerajaan sepatutnya “fokus kepada STEM, bahasa Inggeris dan pekerjaan baik yang akan diisi anak-anak kita pada masa depan”.

Beliau berkata, semua keutamaan kerajaan ketika ini salah.

“Idea menjadi lebih Islam daripada PAS, saya fikir mereka (kerajaan) tersilap. Mereka kini berada di laluan salah.”

Pada 2021, Kementerian Pendidikan mengeluarkan statistik menunjukkan perbezaan membimbangkan antara jumlah pelajar tingkatan enam 6 atas meneruskan pengajian dalam bidang kemanusiaan berbanding STEM. Pelajar yang memilih aliran sains hanya menyumbang 10% atau kurang daripada jumlah pendaftaran pada 2019, 2020 dan 2021.

Azimah berkata, Kementerian Pendidikan perlu mengambil langkah proaktif untuk menggalakkan minat dalam mata pelajaran STEM, termasuk menghidupkan semula pusat STEM negara.

“Malangnya, pusat STEM negara diambil alih Kementerian Pendidikan dan diletakkan di tingkat bawah tanah.

“Ia dilengkapi perisian dan perkakasan yang tiada orang mahu. Selain itu, tiada bajet, jadi ia mati secara semulajadi.”

Tanpa pusat sedemikian, katanya, Malaysia tidak dapat melahirkan pencipta. Negara juga berisiko kehilangan bakat kepada negara lain.

“Walaupun kita kata sistem pendidikan kita lemah, kita sebenarnya melahirkan warga global bertaraf dunia. Negara seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia dan Singapura mengambil mereka.

“Kita kehilangan bakat hebat dan sebenarnya kita mensubsidi negara maju ini.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.