Shahidan mahu bawa usul wakil rakyat PN sokong PM

Shahidan mahu bawa usul wakil rakyat PN sokong PM

Shahidan Kassim mendakwa kerajaan mengumpan peruntukan wakil rakyat untuk menarik sokongan empat Ahli Parlimen PN.

Shahidan Kassim mahu Dewan Rakyat membincangkan isu sokongan kepada Anwar Ibrahim dengan segera.
KUALA LUMPUR:
Shahidan Kassim (PN-Arau) berkata beliau akan membawa usul khas berkaitan tindakan empat Ahli Parlimen gabungan itu yang menyokong pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat, esok.

Beliau mendakwa wakil rakyat dari blok pembangkang dijanjikan peruntukan yang ketika ini hanya terhad kepada penyokong kerajaan.

Shahidan menyifatkan tindakan itu bersifat rasuah dan harus dibincangkan segera.

“Ini amalan rasuah, saya minta perkara ini dibincangkan, perkara yang khusus, kepentingan ramai, rakyat nak ambil tahu apa yang dah jadi sekarang,” kata Shahidan di Dewan Rakyat.

Beliau bangun mencelah ketika sesi perbahasan Belanjawan 2024 peringkat jawatankuasa oleh Chong Zhemin (PH-Kampar).

Sementara itu, Timbalan Speaker Ramli Mohd Nor mengambil maklum berhubung usul akan dibawa Shahidan berkenaan.

“Kalau ikut peraturan saya saran buat usul tentang apa dibangkitkan kepada dewan,” katanya.

Setakat ini, empat Ahli Parlimen PN telah mengisytiharkan sokongan terhadap pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim, terbaharu Ahli Parlimen Jeli Zahari Kechik.

Pengumuman Zahari menyusuli tindakan sama diambil Ahli Parlimen Kuala Kangsar Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid, Ahli Parlimen Labuan Suhaili Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Gua Musang Mohd Azizi Abu Naim.

Terdahulu FMT melaporkan Suhaili mengesahkan telah menerima peruntukan setelah seminggu menyatakan sokongan terhadap Anwar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.