Salur peruntukan kepada JPKKP bukan wakil PN sokong Anwar, gesa pemimpin Umno

Salur peruntukan kepada JPKKP bukan wakil PN sokong Anwar, gesa pemimpin Umno

Noor Hariri Mohamed Noor menyifatkan tindakan tiga Ahli Parlimen PN itu sekadar 'diversion game'.

Timbalan Ketua Penerangan Umno Kelantan Noor Hariri Mohamed Noor berharap gerakan ‘halus’ PN tidak mengaburi mata perdana menteri. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Umno Kelantan mahu Putrajaya menyalurkan terus peruntukan kepada kawasan pembangkang melalui Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP).

Timbalan Ketua Penerangan Umno Kelantan Noor Hariri Mohamed Noor berkata, tindakan itu termasuk membabitkan tiga kawasan diwakili Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Ahli-ahli Parlimen itu terdiri daripada Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Suhaili Abdul Rahman (Labuan), dan Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang).

Menurut Hariri, menerusi mekanisme sedia ada, peruntukan pembangunan dapat disalurkan dengan lebih berkesan dan disampaikan terus kepada rakyat secara bersasar.

Hariri turut mengingatkan Anwar bahawa tiga Ahli Parlimen terbabit mungkin bertindak menyokongnya sebagai “taktik” mendapatkan peruntukan seperti wakil rakyat kerajaan.

“Ketiga-tiga (Ahli Parlimen PN) itu hanya digantung keahlian Bersatu, bukan dipecat, untuk ‘menghalalkan’ status mereka sebagai Ahli Parlimen. Ini hanya satu ‘diversion game’ untuk mendapatkan peruntukan dan projek.

“Saya harap gerakan halus ini tidak mengaburi mata perdana menteri. (Perdana menteri) perlu melihat juga faktor keikhlasan dan kesetiaan dalam menilai tindakan tiga Ahli Parlimen itu, yang ibarat ‘sudah bercerai tetapi tinggal serumah’ (dengan Bersatu),” katanya.

Bulan lepas, Iskandar Dzulkarnain dan Suhaili menyatakan sokongan kepada kerajaan pimpinan Anwar, demi kebajikan penduduk di kawasan mereka, diikuti semalam oleh Mohd Azizi, yang menewaskan veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah pada PRU15.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.