Polis tumpas sindiket jual perisian penipuan

Polis tumpas sindiket jual perisian penipuan

Polis juga merampas mata wang kripto hampir RM1 juta.

Polis berkata sindiket itu aktif sejak tahun lalu dan menjual templat kepada pihak lain bertujuan memperdaya mangsa berpotensi di Amerika Syarikat, Australia dan Malaysia.
KUALA LUMPUR:
Polis menumpaskan sindiket tempatan disyaki menjual perisian penipuan dalam talian susulan serbuan di beberapa negeri pada 6 Nov.

Ketua Polis Negara, Razarudin Husain, berkata sindiket itu aktif sejak tahun lalu dan menjual templat kepada pihak lain bertujuan memperdaya mangsa berpotensi di Amerika Syarikat, Australia dan Malaysia.

“Kami melakukan serbuan serentak di Sabah, Selangor, Kuala Lumpur, dan Perak, serta menahan lapan individu termasuk dalang berusia 36 tahun,” katanya pada sidang media di Bukit Aman.

Berdasarkan siasatan awal, polis mendapati dalang berpangkalan di Sabah, membina sendiri templat yang digunakan secara meluas oleh “scammer” dalam talian mengumpul data peribadi mangsa.

Susulan serbuan itu, polis merampas komputer dipercayai digunakan suspek dan dana mata wang kripto hampir RM1 juta dalam bentuk akaun e-dompet, termasuk 1,038 nama pengguna dan kata laluan.

Polis percaya sindiket itu meraih keuntungan lebih RM1 juta hasil kegiatan haram, selain sindiket mempunyai kaitan dengan dua skim pelaburan melibatkan kerugian lebih RM1.2 juta.

Razarudin berkata, polis menerima 37 laporan berhubung skim berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.