Kerajaan usaha selamat 26 mangsa penipuan pekerjaan di Myanmar

Kerajaan usaha selamat 26 mangsa penipuan pekerjaan di Myanmar

Timbalan Menteri Luar Mohamad Alamin berkata kerajaan menggunakan segala alternatif yang ada bagi membawa pulang semua mangsa dengan selamat.

Timbalan Menteri Luar Mohamad Alamin berkata sehingga 3 Nov lalu kerajaan berjaya membawa pulang seramai 518 mangsa penipuan pekerjaan di luar negara. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kerajaan sedang mengenal pasti dan berusaha menyelamatkan 26 warga Malaysia yang dipercayai menjadi mangsa jenayah penipuan pekerjaan di Laukkaing, Myanmar, kata Timbalan Menteri Luar Mohamad Alamin.

Beliau berkata kerajaan melalui Kedutaan Besar Malaysia di Yangon, Myanmar dengan kerjasama Thailand, Vietnam, Filipina dan China sedang menyelaras dan menggunakan segala alternatif bagi membawa pulang semua mangsa dengan selamat.

“Sehingga 3 Nov 2023, kementerian ini berjaya membawa pulang 518 orang. Sejurus mereka kembali ke tanah air, mangsa-mangsa akan diambil keterangan oleh polis untuk membantu siasatan.

“Dalam masa yang sama, Kementerian Luar ingin mengingatkan kepada semua warga Malaysia supaya sentiasa peka dan berwaspada apabila menerima sebarang tawaran pekerjaan menerusi platform media sosial yang meragukan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Oscar Ling Chai Yew (PH-Sibu) yang ingin tahu tindakan kerajaan untuk menyelamatkan mangsa penipuan pekerjaan di Kemboja dan Myanmar yang sering berlaku.

Mohamad berkata kerajaan juga sedang menunggu “lampu hijau” daripada pihak berkuasa Myanmar untuk berbincang dan mengadakan lawatan ke negara itu bagi merangka usaha menyelamatkan rakyat Malaysia yang menjadi mangsa jenayah penipuan pekerjaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.