
Wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) itu mendakwa tindakan pentadbir tanah daerah Gombak membuat laporan polis terhadapnya sebagai tidak menghormati proses mahkamah.
Hilman berkata beliau telah memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap notis telah dikeluarkan terhadapnya oleh pentadbir tanah daerah Gombak di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Jelasnya, beliau dibenarkan untuk meneruskan permohonan semakan kehakiman tersebut.
“Saya sama sekali tidak mengerti mengapa kerajaan negeri melalui pentadbir tanah Gombak perlu secara berterusan mengambil tindakan menghantar notis, tindakan penguatkuasaan termasuklah membuat laporan polis ke atas diri saya.

“Tindakan ini dilihat seolah-olah menghina dan tidak menghormati proses perundangan yang sedang berjalan di Mahkamah Tinggi Shah Alam,” katanya dalam kenyataan.
Hilman turut mendakwa tindakan ke atasnya berunsur tekanan dan ugutan politik kerana mewakili pembangkang di negeri dikuasai Pakatan Harapan serta Barisan Nasional.
“Isu pencerobohan tanah kerajaan sememangnya serius di Selangor termasuk di Gombak, namun mengapa sebuah pusat khidmat yang menjadi pusat aduan, perlindungan serta tempat rakyat memohon bantuan menjadi sasaran berterusan?
“Mengapa kawasan-kawasan lain yang diceroboh dibiarkan tanpa penguatkuasaan?,” katanya.
Jun lalu, Hilman diarahkan mengosongkan pusat khidmatnya yang terletak di atas tanah kerajaan.