
Salawati Mat Basir dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata ini kerana WHO yang bernaung di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tiada kuasa mencampuri bidang kuasa termasuk hak Yang Di-Pertuan Agong.
“Itu peraturan yang WHO hendak pastikan negara-negara ahli mengikut ketetapan tertentu supaya dapat mengawal masalah penyakit (global) sebagai mana dikehendaki Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO),” katanya kepada FMT.
Pada 26 Okt lalu, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata kerajaan akan memastikan kedaulatan negara menjadi keutamaan dalam rundingan sedang berjalan berhubung WHO CA+ dan IHR 2005.
Sebelum ini beberapa pihak antaranya Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyuarakan kebimbangan kedaulatan negara akan terancam jika menerima dua undang-undang terbabit.
Mengulas lanjut, Salawati berkata masyarakat tidak perlu panik dan memberi ruang kepada Putrajaya yang mempunyai kumpulan berkemampuan menguruskannya.
“Kita ada Pejabat Peguam Negara yang bukan duduk sahaja tanpa berbuat apa-apa, mereka bersama Kementerian Kesihatan meneliti setiap draf.
“Kita bukan negara yang ambil bulat-bulat undang-undang antarabangsa, kalau bertentangan Perlembagaan kita tak akan laksanakannya atau buat perubahan sesuai,” katanya.
Beliau juga menegur tindakan segelintir pihak yang tidak mempunyai pengetahuan membuat ulasan berhubung WHO CA+ dan pindaan IHR 2005 di media sosial.
“Saya yang mengkaji undang-undang antarabangsa pun banyak lagi kena kaji berkaitan perkara itu,” katanya.