Ubat tak berdaftar lebih RM1.5 juta dirampas

Ubat tak berdaftar lebih RM1.5 juta dirampas

Sindiket penipuan membungkus semula ubat tidak berdaftar dari luar negara kepada ubat berdaftar keluaran jenama terkenal, sebelum menjualnya di pasaran tempatan.

Ubat tidak berdaftar lebih RM1.5 juta dirampas Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dari tiga premis di Selangor baru-baru ini. (Gambar Jabatan Kesihatan Selangor)
PETALING JAYA:
Aktiviti sindiket penipuan membungkus semula ubat tidak berdaftar dari luar negara terbongkar susulan rampasan lebih RM1.5 juta oleh Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS).

Pengarahnya, Dr Sha’ari Ngadiman, berkata hasil maklumat awam, Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF) JKNS dengan bantuan polis menyerbu tiga premis dijadikan lokasi pembungkusan, penyimpanan, pengedaran dan penjualan ubat tidak berdaftar itu baru-baru ini.

Katanya sindiket itu membungkus semula ubat tidak berdaftar dari luar negara kepada ubat berdaftar keluaran jenama terkenal, sebelum menjualnya di pasaran tempatan.

“Antara ubat-ubatan dirampas adalah ubat suntikan insulin untuk kencing manis, ubat rawatan jantung, ubat antikolesterol, ubat rawatan asma, ubat darah tinggi dan ubat titis rawatan mata.

“Kes disiasat bawah Akta Jualan Dadah 1952, sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menasihatkan semua klinik dan farmasi memastikan sumber bekalan ubat hanya daripada pemborong berlesen bagi memastikan ubat dijual berdaftar dan diperoleh dari sumber sah.

Katanya orang ramai juga digalak mengemukakan aduan dan maklumat berhubung ubat serta produk meragukan kepada Program Perkhidmatan Farmasi melalui http://www.pharmacy.gov.my atau portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam di http://moh.spad.gov.my atau mana-mana CPF atau melalui talian 03-78413200.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.