Najib belanja dana untuk politik, bukan peribadi, mahkamah diberitahu

Najib belanja dana untuk politik, bukan peribadi, mahkamah diberitahu

Pegawai penyiasat Foo Wei Min berkata dana itu diberikan kepada individu dan entiti berlatar belakang politik.

Najib Razak berdepan perbicaraan melibatkan 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang berkait dana 1MDB RM2.28 bilion dideposit dalam akaun AmBank miliknya. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi diberitahu kebanyakan dana diterima bekas perdana menteri, Najib Razak, pada 2013 digunakan bagi politik dan bukan tujuan peribadi.

Pegawai penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Foo Wei Min, memberitahu mahkamah ketika perbicaraan 1MDB Najib bahawa beliau ditugaskan menyiasat resit Najib dan penggunaan dana dalam akaunya 10 tahun lalu.

Sebelum ini, Foo memberitahu mahkamah beliau menyiasat aliran wang daripada bon USD3 bilion, melalui 1MDB bagi membangunkan Tun Razak Exchange (TRX).

Katanya, beliau mendapati ada sebahagian dana masuk dalam akaun peribadi Najib.

Hari ini, Foo berkata pihak yang menerima dana daripada Najib melibatkan sama ada individu atau entiti yang mempunyai latar belakang politik.

Mahkamah diberitahu bahawa antara 2 dan 14 Ogos 2013, Najib mengeluarkan lima cek kepada Umno berjumlah RM20 juta, manakala Umno Batu Kawan menerima RM100,000.

Penerima dana lain dikenalpasti oleh saksi adalah Lim Soon Peng (RM246,000), Orb Solutions Sdn Bhd (RM2 juta), dan Semarak Konsortium Satu Sdn Bhd (RM303,000).

Ketika disoal peguam Shafee Abdullah, sama ada Bukit Aman ada menjejak sebarang transaksi berkait perbelanjaan peribadi Najib, Foo berkata tidak.

“Tiada perbelanjaan darinya untuk membeli kapal layar?” soal peguam dalam nada gurauan.

Najib berdepan perbicaraan melibatkan 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang berkait dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion dimasukkan dalam akaun AmBank miliknya, antara Februari 2011 dan Disember 2014.

Pendengaran bersambung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah, pada 8 Nov.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.