Gaza dan Hiroshima 2 situasi berbeza, kata penganalisis

Gaza dan Hiroshima 2 situasi berbeza, kata penganalisis

Tiga ahli akademik bersetuju Anwar Ibrahim tidak patut membandingkan dua tragedi tersebut.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim minggu lepas berkata, kemusnahan di Gaza lebih teruk berbanding yang dialami Hiroshima selepas pengeboman atom pada 1945. (Gambar AP)
PETALING JAYA:
Perbandingan dibuat oleh Anwar Ibrahim bahawa kemusnahan perang di Gaza lebih teruk daripada pengeboman Hiroshima pada 1945 tidak disenangi beberapa ahli akademik.

Mereka bersetuju perdana menteri tidak patut membuat perbandingan sedemikian.

Aruna Gopinath, bekas pensyarah di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) berkata, perbandingan keterlaluan antara insiden dalam sejarah tidak harus digalakkan.

Syed Arabi Idid daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, sifat Hiroshima dan Gaza pada dasarnya berbeza, juga mempunyai akibat berbeza.

Keputusan Amerika Syarikat menggugurkan bom atom di Jepun pada 1945 ialah tindakan ketenteraan yang sah kerana kedua-dua negara sedang berperang, dan ia hanya berlaku sekali. Bagaimanapun, Israel terus membedil Gaza walaupun mengetahui akibat tindakan sedemikian.

“Saya tak rasa perdana menteri harus buat perbandingan sedemikian,” katanya kepada FMT.

Profesor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Teo Kok Seong berkata, tahap keterukan situasi Gaza, dibandingkan dengan pengeboman Hiroshima, adalah subjektif, bukan sesuatu yang jelas dan mudah.

Teo berkata, persepsi terhadap situasi Gaza banyak dipengaruhi oleh sentimen agama, khususnya dalam kalangan umat Islam.

“Oleh sebab orang Islam berasa simpati dan mempunyai empati, mereka mungkin melihat keadaan (di Gaza) lebih teruk daripada pengeboman Hiroshima.”

Bagaimanapun, Aruna berkata, pemahaman yang kukuh tentang sejarah diperlukan sebelum mengulas peristiwa dalam skala yang berbeza.

Anwar tidak sepatutnya membandingkan kedua-dua situasi itu, katanya sambil menambah, sebagai perdana menteri, “beliau harus berhati-hati dalam menangani persoalan ini”.

Jumlah sebenar mangsa yang terkorban dalam pengeboman Hiroshima masih tidak diketahui. Anggaran mangsa yang maut akibat letupan, ribut api, dan kesan radiasi sekitar 66,000 hingga 140,000.

Kementerian Kesihatan Gaza semalam mengesahkan lebih 10,000 orang terbunuh akibat pengeboman Israel.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.