Pemimpin negara Islam akan bincang konflik Palestin, kata Anwar

Pemimpin negara Islam akan bincang konflik Palestin, kata Anwar

Perdana menteri turut mengusulkan perbincangan sama disertai pemimpin bukan Islam yang mempunyai pendekatan 'lebih lunak' serta mempertahankan hak kemanusiaan.

Anwar Ibrahim berucap dalam perjumpaan bulanan dengan warga Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya hari ini.
PUTRAJAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata pemimpin negara Islam akan mengadakan pertemuan dalam masa terdekat bagi membincangkan konflik di Palestin.

“Kita telah hubungi pemimpin-pemimpin dunia Arab dan Turki, malah Iran juga untuk mengadakan perbincangan dalam kalangan kepala-kepala negara.

“Keputusan sekarang ini yang bincang dengan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammad Salman dan presiden Turki (Recep Tayyip Erdogan) dalam tempoh sehari, dua untuk mempertemukan pemimpin Islam,” katanya berucap pada perjumpaan dengan warga Jabatan Perdana Menteri bagi bulan ini.

Anwar berkata, beliau sebelum itu mengusulkan perbincangan sama turut disertai pemimpin bukan Islam seperti Brazil, Ireland, Rusia dan China yang mempunyai pendekatan “lebih lunak” serta mempertahankan hak kemanusiaan.

Tetapi, katanya, belum ada kata putus berhubung cadangan itu.

“Positifnya, belum pernah isu Gaza, Palestin dibahas secara terbuka di dunia barat seperti sekarang.”

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, hubungan baik Malaysia dan Mesir memudahkan bantuan kemanusiaan dihantar ke Palestin dengan lebih cepat.

“Saya minta keutamaan untuk bantuan kemanusiaan dari Malaysia. Mereka pegang pada janji Malaysia antara paling cepat diberi layanan dan dapat seberang sempadan,” katanya.

Lintasan Rafah ke Semenanjung Sinai Mesir satu-satunya pintu keluar dari Gaza yang tidak dikawal rejim Zionis Israel, di mana trak bantuan masih boleh memasuki wilayah itu.

Penghantaran bantuan kemanusiaan pertama Malaysia untuk rakyat Palestin melibatkan pelbagai barangan keperluan seberat 20 tan berlepas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Al-Arish, Mesir menerusi penerbangan pesawat kargo khas Jumaat lalu.

Israel menolak gesaan melaksanakan gencatan senjata di Gaza pada Ahad, dengan pakar ketenteraan berkata pasukannya sedia memperhebatkan serangan terhadap kumpulan Hamas tanpa menetapkan sebarang tempoh untuk operasi mereka.

Pegawai kesihatan Gaza pada Ahad berkata, lebih 9,770 rakyat Palestin terbunuh dalam peperangan yang akan genap sebulan esok, termasuk sekurang-kurangnya 4,880 kanak-kanak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.