
MTEN bersetuju bantuan tunai khas secara bulanan dipertimbangkan untuk melepasi paras garis kemiskinan (PGK) makanan, bagi isi rumah yang tidak berkemampuan menyertai aktiviti menjana pendapatan atas faktor umur dan kesihatan.
“Semua agensi dan kementerian menyemak dan mengemas kini data untuk mengesahkan jumlah penerima isi rumah miskin tegar yang telah dibantu dan menjana pendapatan melebihi PGK makanan dalam 2023.
“Semua agensi perlu mengenal pasti isi rumah yang boleh menyertai program dalam tempoh berbaki tiga bulan dan diserapkan di dalam program-program yang ditawarkan mengikut kesesuaian,” kata Anwar dalam kenyataan selepas mesyuarat MTEN.
Mesyuarat juga dimaklumkan mengenai status pelaksanaan dan usaha menoktahkan miskin tegar serta cabaran dihadapi.
Katanya, banyak usaha dan program dilaksanakan oleh kerajaan dalam usaha membasmi kemiskinan tegar antaranya terkait bantuan tunai bulanan, naik taraf kediaman, pemberian modal perniagaan, latihan kemahiran, dan penjanaan pendapatan.
“Usaha-usaha ini telah pun dilaksanakan oleh pelbagai kementerian dan agensi dalam usaha menarik keluar rakyat dari belenggu miskin tegar,” kata Anwar.
Sementara itu, Anwar berkata mesyuarat mendapati perbelanjaan pembangunan sebenar semakin mengecil secara relatif setiap tahun, walaupun belanjawan menunjukkan peningkatan besar dan hal ini boleh memberi kesan jangka panjang kepada pertumbuhan ekonomi.
Selain itu pelaksanaan projek pembangunan bermasalah dan mengalami kelewatan pelaksanaan menyebabkan peningkatan kos dan memberi kesan negatif terhadap ekonomi.
Mesyuarat turut mendapati penentuan spesifikasi dan penilaian kos projek-projek teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sukar dilakukan dengan berkesan, dan proses semakan kos sukar tanpa satu piawai anggaran kos.
Anwar berkata keadaan itu boleh menyebabkan pertindihan kerja yang berulang dan kenaikan kos projek ICT.
Dalam hal ini kerajaan akan melaksanakan tindakan segera untuk menambahbaik proses dalam pelaksanaan projek belanja pembangunan.
Ini termasuk pembentukan pasukan rentas kementerian iaitu Kementerian Ekonomi, Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Kementerian Kewangan, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pengairan dan Saliran, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), dan jabatan-jabatan terbabit bagi menyemak dan menyediakan kerangka penambahbaikan, untuk diluluskan secara bersepadu oleh kerajaan.
Anwar berkata, tindakan lain ialah keputusan dasar ke arah desentralisasi dan pemberdayaan pelaksanaan projek, dan kawalan peruntukan kepada agensi pelaksana yang diimbangi dengan tadbir urus yang ketat.
Ini di samping keputusan dasar ke arah pemusatan pelaksanaan projek ICT dan penentuan spesifikasi/kos di MAMPU untuk mengawal kos ICT dan sebagai persediaan ke arah GovTech.