Harga ayam di 2 daerah Sarawak termahal RM18.90

Harga ayam di 2 daerah Sarawak termahal RM18.90

Hasil pemantauan KPDN sejak 1 Nov hingga semalam mendapati harga ayam paling mahal di Lawas dan Limbang akibat isu logistik serta bekalan.

Armizan Mohd Ali berkata harga ayam di Semenanjung paling murah RM5.79, jauh daripada harga kawalan dahulu RM9.40, manakala paling mahal RM10.50 di Mentakab, Pahang dan Pasar Awam Matang, Perak. (Gambar Bernama)
KAJANG:
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mendapati harga ayam di Lawas dan Limbang, Sarawak paling mahal, kata Pemangku Menteri Armizan Mohd Ali.

Beliau berkata, hasil pemantauan dari 1 Nov hingga semalam mendapati ayam dijual RM18.90 di dua daerah itu akibat isu logistik dan bekalan.

“Kita akan teruskan libat urus dengan peniaga di Limbang dan Lawas untuk (melihat) bagaimana kaedah berunding dan semak kos operasi,” katanya selepas mengumumkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali 2023.

Armizan berkata, di Semenanjung ayam bersih standard paling murah berharga RM5.79, jauh daripada harga kawalan dahulu RM9.40, manakala paling mahal RM10.50 di Mentakab, daerah Temerloh di Pahang dan Pasar Awam Matang, Perak.

“Di Sabah, harga ayam bersih super serendah RM10 dan tertinggi RM13.90.”

Katanya terdapat kes terpencil harga ayam dijual RM12.90 di Labuan.

“Di Labuan, satu kes sampai kepada perdana menteri dan perdana menteri terus hubungi minta kita selesaikan isu tersebut. Jadi, perdana menteri ‘concern’ dan ‘engage’…bila tanya isunya (adakah disebabkan) kos pengeluaran, esoknya mereka turunkan harga.”

Armizan berkata setakat ini tiada laporan rasmi diterima berhubung kenaikan harga ayam.

“(Walaupun ada) aduan sampai kepada perdana menteri, namun aduan rasmi kepada KPDN melalui portal tidak ada. Ia boleh dimaklumkan melalui WhatsApp dan kita uruskan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.