Polis tahan 10 individu berkait kes curi cip kasino lebih RM4.6 juta

Polis tahan 10 individu berkait kes curi cip kasino lebih RM4.6 juta

Ketua Polis Pahang Yahaya Othman berkata semua individu terbabit ditahan dalam beberapa siri serbuan yang dilakukan.

Pada 28 Okt lalu, polis menerima laporan berkaitan kecurian cip kasino bernilai lebih RM4.6 juta dari bilik kasino di Genting Highlands. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Polis menahan 10 individu bagi membantu siasatan berhubung kecurian cip kasino bernilai lebih RM4.6 juta di sebuah bilik kasino di Genting Highlands, Pahang pada 28 Okt lalu.

Ketua Polis Pahang, Yahaya Othman, berkata semua individu terbabit ditahan dalam beberapa siri serbuan yang dilakukan selepas polis menerima laporan berhubung kejadian itu.

Katanya, polis masih menjalankan siasatan lanjut dan kemungkinan akan ada lagi serbuan dilakukan.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi, menurut Harian Metro.

Sebelum ini, polis mengesahkan menerima satu laporan daripada pihak keselamatan kasino berkaitan kecurian cip bernilai lebih RM4.6 juta pada 6.30 petang, 28 Oktober lalu.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi IPD Bentong di talian 09-2222222 atau mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.