
Sambil mengingatkan kedudukan Sapiah sebagai seorang pegawai kerajaan, Ajis Sitin berkata membuat dakwaan tanpa tindakan susulan akan kelihatan seolah-olah bermain politik.
“Menyebarkan kepada media tidak memberi penyelesaian yang diharapkan untuk kebaikan Orang Asli,” katanya lagi kepada FMT.
Utusan Malaysia pada 1 Nov lalu memetik Sapiah sebagai mendakwa ada NGO mengakui ‘dibayar’ pihak luar untuk sengaja mencetuskan isu tanah, namun beliau tidak menamakan badan terbabit.
Terdahulu, Utusan melaporkan keluhan Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia mengenai isu pewartaan tanah etnik itu. Ketua pengarah Jakoa itu bagaimanapun tidak menamakan NGO itu.
Sapiah turut mendakwa ada sebuah suruhanjaya yang dilihat sengaja mahukan Orang Asli terus mundur dan hidup terbiar. Beliau juga tidak menamakan badan itu.
“Sekiranya beliau berpendapat isu itu menyalahi undang-undang atau bertentangan dengan tatacara pentadbiran, sepatutnya beliau terus melaporkan kepada pihak berkuasa untuk membuat siasatan,” kata Ajis, yang juga bekas ketua pengarah Jakoa.
Semalam, Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia mempersoalkan ‘pengakuan’ kepada Jakoa kononnya ada NGO hak pribumi diupah untuk sengaja membangkitkan isu tanah.
Pengerusi Tijah Yok Chopil berkata dakwaan Sapiah mengejutkan kerana umum tahu NGO hak pribumi memperjuangkan isu tanah kerana ia penting bagi kelangsungan komuniti itu, dan menggesa beliau mendedahkan siapa ‘tokoh NGO’ yang membuat pengakuan itu.
Ajis berkata Jakoa sepatutnya menjadi jambatan antara Orang Asli dan kerajaan, dengan menyampaikan kehendak atau aspirasi komuniti pribumi itu yang diperjuangkan menerusi NGO.