
Beliau menegaskan tiada pimpinan Umno yang terlibat memujuk Ahli-ahli Parlimen PN itu, malah tiada keperluan untuk menarik sokongan daripada pihak pembangkang kerana kerajaan perpaduan sudah mempunyai 148 Ahli Parlimen.
“Perdana Menteri (Anwar Ibrahim) tidak menyuruh sesiapa. (Malah sebagai) timbalan beliau (Kementerian Kewangan), (saya) tidak pernah disuruh untuk melakukan perkara-perkara sebegitu kerana kerajaan sekarang kuat dan stabil,” katanya pada sidang akhbar selepas sebuah acara di Ayer Baloi, Pontian, hari ini, lapor Sinar Harian.
Setiausaha Agung PN Hamzah Zainudin semalam dilaporkan berkata, pihaknya sedang mengumpul bukti berhubung dakwaan Ahli Parlimen pembangkang diugut supaya menyokong kerajaan perpaduan.
Ahmad yang juga Timbalan Pengerusi Umno Johor berkata, Ahli Parlimen sekadar boleh menyatakan sokongan memandangkan mereka terikat dengan akta antilompat.
“Jika sebelum ini, lompat-melompat terjadi apabila kerajaan tidak stabil, namun pada masa kini sudah ada akta (anti)lompat parti, mereka (Ahli Parlimen) sudah tidak boleh keluar daripada parti.
“Kuala Kangsar (Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid) dan Labuan (Suhaili Abdul Rahman) tidak keluar daripada Bersatu, tetapi (sekadar) nyatakan sokongan kepada perdana menteri,” katanya.
Dilaporkan pada Isnin lepas, Suhaili menyatakan sokongan kepada Anwar selepas mengambil kira permasalahan rakyat Labuan yang berdepan kos sara hidup semakin tinggi serta gangguan bekalan air dan bekalan elektrik berterusan.
Suhaili ialah wakil rakyat Bersatu kedua yang menyokong kepimpinan Anwar selepas Iskandar Dzulkarnain berbuat demikian pada 12 Okt.
Susulan itu, Bersatu memutuskan badan pimpinan negeri mengambil alih pengurusan Bahagian Kuala Kangsar dan Labuan, sementara menunggu keputusan dibuat Lembaga Disiplin terhadap Iskandar dan Suhaili.
Selain itu, Hamzah mengumumkan pada Khamis lepas bahawa Naib Presiden Bersatu Radzi Jidin dilantik sebagai Ketua Bersatu Wilayah Persekutuan, berkuat kuasa serta-merta, bagi menggantikan Suhaili.