Pentaksiran Tahun 6 Sarawak ‘ujian’ bagi sekolah juga

Pentaksiran Tahun 6 Sarawak ‘ujian’ bagi sekolah juga

Timbalan menteri negeri Dr Annuar Rapaee berkata, ujian yang dicadangkan itu akan membolehkan sekolah yang perlu sokongan dikenal pasti dan dibantu.

Timbalan Menteri Pendidikan Sarawak Annuar Rapaee turut mencadangkan satu lagi pentaksiran dilaksanakan bagi murid Tahun 3. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Cadangan ujian pentaksiran Tahun 6 di Sarawak bukan sahaja akan “menguji” murid, tetapi juga sekolah mereka, kata seorang timbalan menteri negeri.

Annuar Rapaee berkata, ujian yang dicadangkan itu akan membolehkan kementerian mengenal pasti dan membantu sekolah yang memerlukan sokongan.

“Jika kita tidak menilai, sekolah-sekolah ini akan kekal sama. Kita tidak akan tahu bagaimana untuk menambah baiknya, sama ada sekolah itu perlukan guru-guru yang bagus atau lebih lagi sumber,” katanya kepada FMT.

Annuar, yang juga timbalan menteri pendidikan negeri berkata, pentaksiran seharusnya berkenaan menentukan sama ada murid telah mencapai tahap yang dijangka sesuai dengan usia mereka.

Masalah dengan UPSR sebelum ini adalah sekolah yang akhirnya mendapat ranking, katanya.

“Ia menggalakkan acara mengumumkan berapa banyak A dan B (diperoleh murid) dan sebagainya,” katanya.

Langkah demikian menimbulkan tekanan yang tidak perlu kepada ibu bapa, murid dan sekolah untuk mencapai keputusan yang bagus, tambahnya.

Bagaimanapun, Annuar berkata, perlu ada ujian pentaksiran lain, sebaik-baiknya sekitar Tahun 3, untuk menilai kebolehan murid membaca, menulis dan mengira.

“Masih ada masa untuk kita bantu pelajar. (Tetapi pada) Tahun 6 … sudah hendak masuk Tingkatan 1, (jadi) agak terlambat,” katanya.

Pada Rabu, Menteri Pendidikan Sarawak Roland Sagah Wee Inn berkata, negeri itu berazam untuk membangunkan ujian pentaksirannya sendiri untuk murid Tahun 6 di semua sekolah kerajaan, lapor Borneo Post.

Ujian tersebut serupa dengan UPSR, yang dimansuhkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) pada 2021.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.