Malaysia kutuk serangan kejam ke atas kem Jabalia

Malaysia kutuk serangan kejam ke atas kem Jabalia

Kejadian itu pada 1 Nov di kem pelarian terbesar di Gaza itu membunuh ratusan dan mencederakan lebih banyak lagi, termasuk wanita dan kanak-kanak.

Lebih 9,000 orang awam Palestin terbunuh dalam pencerobohan Israel sejak 7 Okt, termasuk kira-kira 200 yang terkorban dalam insiden serangan udara di kem Jabalia. (Gambar AP/Abdul Qader Sabbah)
PUTRAJAYA:
Malaysia mengutuk dengan keras tindakan tidak berperikemanusiaan oleh rejim Israel menyerang kem Kem Pelarian Jabalia, kem pelarian terbesar di Gaza.

Kejadian itu pada Rabu itu membunuh ratusan orang dan mencederakan lebih banyak lagi, termasuk wanita dan kanak-kanak.

Serangan itu jenayah terhadap kemanusiaan yang dilakukan oleh rejim yang telah lama melanggar dan mengabaikan undang-undang antarabangsa serta menolak banyak resolusi Majlis Keselamatan PBB, kata kenyataan oleh Kementerian Luar Malaysia (Wisma Putra) semalam.

“Tempat yang sepatutnya memberi perlindungan dan bantuan kini menjadi kubur nyawa yang tidak berdosa,” kata Kementerian Luar.

“Serangan yang disengajakan sebelum matahari terbenam mencerminkan perbuatan kejam untuk membunuh, melukai, dan menyakitkan sebanyak mungkin orang Palestin, tanpa mengira umur atau jantina.

Malaysia sekali lagi menggesa komuniti antarabangsa, PBB, khususnya Majlis Keselamatan, untuk menuntut rejim Israel menghentikan tindakan keji dan tidak berperikemanusiaan seperti ini serta tindakannya mengetatkan dasar apartheid terhadap rakyat Palestin.

Malaysia terus berpegang teguh pada pendiriannya bahawa rakyat Palestin berhak mendirikan negara mereka sendiri yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan-sempadan sebelum 1967, dengan Jerusalem Timur sebagai ibu kotanya.

Lebih 9,000 orang awam Palestin terbunuh dalam pencerobohan Israel sejak konflik bermula pada 7 Okt, termasuk kira-kira 200 yang terkorban dalam insiden serangan udara di kem pelarian Jabalia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.