Kerajaan tak sensitif tolak cadangan naik elaun ‘on-call’, kata MMA

Kerajaan tak sensitif tolak cadangan naik elaun ‘on-call’, kata MMA

Persatuan Perubatan Malaysia berkata kadar RM9.16 sejam yang dikekalkan adalah satu penghinaan kepada petugas kesihatan.

Persatuan Perubatan Malaysia mendesak kenaikan kadar elaun ‘on-call’ kerana kadar dibayar masih sama sejak sedekad lalu. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) membidas kerajaan kerana menolak permintaannya untuk kenaikan elaun ‘on-call’ bagi doktor.

Presiden Dr Azizan Abdul Aziz berkata tindakan kerajaan menolak serta-merta cadangan menaikkan elaun daripada kadar semasa RM9.16 sejam kepada RM25 “sangat mengecewakan” dan “tidak sensitif”.

“Maklum balas kementerian yang menyatakan bahawa RM9.16 sejam adalah kadar yang ‘sesuai’ adalah satu penghinaan kepada bukan sahaja doktor tetapi semua petugas kesihatan.

“Adakah kerajaan sedar bahawa terdapat pelayan di negara ini yang mendapat bayaran setiap jam lebih tinggi daripada doktornya?” soalnya dalam kenyataan.

Dalam menolak gesaan MMA untuk semakan semula elaun itu, kerajaan berkata ia terikat dengan pekeliling perkhidmatan 2019 oleh Kementerian Kewangan dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Dalam jawapan bertulis kepada MMA dua minggu lalu, Kementerian Kesihatan berkata kedudukan perkhidmatan lain berhubung elaun dan kedudukan kewangan negara juga perlu dipertimbangkan.

Dalam surat yang dilihat oleh FMT, kerajaan berkata ia berpandangan bahawa elaun ‘on-call’ semasa adalah sesuai kerana doktor menikmati banyak elaun lain.

Ini termasuk elaun perkhidmatan kritikal (RM750 sebulan), insentif pakar (dari RM2,200 hingga RM3,100 sebulan), dan elaun lokum untuk bekerja di luar tugas (RM80 sejam).

“Lain-lain ialah elaun pembedahan elektif (RM200 untuk pakar dan RM80 untuk pegawai perubatan sejam) dan untuk pentadbiran hospital (RM1,520 hingga RM2,480 sebulan, mengikut gred),” katanya.

Azizan menyifatkan kerajaan sebagai “tidak cekap”, sambil mengeluh bahawa Kementerian Kesihatan mengambil masa 10 bulan untuk memberi maklum balas, susulan gesaan kenaikan elaun itu ketika sesi town hall diadakan.

Beliau juga berkata maklumat yang diberikan oleh kerajaan mengenai isu-isu terbabit mewujudkan persepsi yang salah kerana tidak semua doktor penjagaan kesihatan awam berhak mendapat elaun yang dinyatakan.

“Kelayakan pelbagai elaun itu bergantung kepada jawatan dan pangkat doktor.

“Kebanyakan doktor tidak menerima elaun yang dinyatakan dalam jawapan kerajaan.

“Sekiranya keputusan (untuk menolak kenaikan elaun ‘on-call’) dibuat tanpa merujuk kepada maklumat yang tepat, kami ingin meminta kerajaan menilai semula dan mempertimbangkan semula keputusannya berhubung cadangan kenaikan kadar itu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.