Hanya 40% rakyat ada insurans, kerajaan perlu tingkat kesedaran

Hanya 40% rakyat ada insurans, kerajaan perlu tingkat kesedaran

Timbalan Menteri Kewangan Ahmad Maslan berkata keadaan itu memerlukan usaha kerajaan untuk mencari kaedah serta pendekatan bagi meningkatkan tahap kesedaran.

Ahmad Maslan berkata usaha memberi penjelasan kepentingan perlindungan insurans dan takaful perlu dibuat di peringkat sekolah.
PETALING JAYA:
Tahap kesedaran rakyat mengenai pentingnya mempunyai perlindungan takaful dan insurans masih rendah apabila hanya 40% sahaja yang dilindungi, kata Timbalan Menteri Kewangan Ahmad Maslan.

Beliau berkata keadaan itu memerlukan usaha kerajaan untuk mencari kaedah serta pendekatan bagi meningkatkan tahap kesedaran mereka.

“Mengambil contoh kejadian banjir besar di Shah Alam pada 2021, hanya 5% daripada kerugian RM6.1 bilion yang ditanggung oleh mangsa mempunyai perlindungan insurans.

“Keadaan seperti itu tentunya memberikan tekanan kepada pihak kerajaan untuk membantu mangsa banjir membina semula kehidupan mereka selepas ditimpa bencana.

“Oleh itu, usaha memberi penjelasan kepentingan perlindungan insurans dan takaful perlu dibuat di peringkat sekolah, institut pengajian tinggi termasuk di kampung dan juga bandar.

“Ia penting supaya taraf peratusan takaful di negara ini akan meningkat,” katanya selepas merasmikan Program Takaful Masuk Kampung di Dewan Homestay Kampung Puteri Menangis di Pontian, menurut Berita Harian.

Ahmad berkata kerajaan sebelum ini memperkenalkan skim Insurans Tenang iaitu pelan Takaful Keluarga yang memberikan bantuan tunai sekiranya dimasukkan ke hospital atau meninggal dunia disebabkan Covid-19.

Selain itu beliau berkata, peranan Persatuan Takaful Malaysia juga banyak membantu masyarakat di bandar dan luar bandar untuk menyertai program takaful dan insurans.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.