Gerakan gesa Liberal International tarik sokongan terhadap Israel

Gerakan gesa Liberal International tarik sokongan terhadap Israel

Setiausaha Agung Loh Kah Yong berkata LI harus mengecam pencabulan hak asasi manusia terhadap rakyat Palestin.

Setiausaha Agung Gerakan Loh Kah Yong menyeru PKR berganding bahu dengannya menggesa Liberal International menarik balik kenyataan menyokong pencerobohan Israel.
PETALING JAYA:
Gerakan membidas Liberal International (LI) yang berpusat di UK kerana menunjukkan sokongan terhadap Israel yang melancarkan serangan di Gaza, tanpa kesepakatan ahlinya.

Setiausaha Agung Loh Kah Yong dalam kenyataan berkata parti itu tidak akan teragak-agak untuk menarik diri daripada pertubuhan itu jika ia tidak menarik balik kenyataan menyokong Israel.

Tegasnya, Gerakan mendapati kenyataan LI “tidak menyenangkan dan mengecewakan kerana masyarakat antarabangsa harus berdiri teguh dalam solidariti dengan rakyat Palestin dan bukannya menunjukkan sokongan kepada penceroboh.”

Pada 7 Okt, LI menerbitkan satu kenyataan yang mengutuk serangan ke atas orang awam Israel, dan menyatakan ia mengiktiraf “hak Israel untuk mempertahankan diri”.

Organisasi itu mengeluarkan kenyataan lain pada 14 Okt yang menyatakan bahawa ia “sangat sedih” dengan tragedi dan penderitaan manusia akibat serangan Hamas. Ia menggesa kumpulan itu membebaskan semua tebusan serta-merta.

Dalam pada itu, Gerakan menyeru PKR berganding bahu menggesa pertubuhan itu menarik balik kenyataan mereka, sambil menyatakan bahawa PKR juga disenaraikan sebagai ahli pemerhati pertubuhan itu.

“Lagipun, krisis kemanusiaan yang memuncak di Palestin melangkaui perbezaan politik kita dan memerlukan perhatian penuh kemanusiaan kita.

“Semua pihak mesti melaksanakan tanggungjawab kolektif dan menunjukkan sokongan mereka yang tidak berbelah bahagi kepada yang tertindas. Kita mahu menunjukkan kepada generasi akan datang, kita telah melakukan perkara yang betul,” katanya.

Awal hari ini, Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil berkata beliau telah menghubungi LI meminta ia mengeluarkan nama dan lambang partinya daripada laman web rasminya.

Beliau berkata PKR bukan ahli dan tidak pernah membayar sebarang yuran keahlian kepada pertubuhan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.