Ahli Parlimen Wangsa Maju ikrar pastikan tiada miskin tegar tercicir

Ahli Parlimen Wangsa Maju ikrar pastikan tiada miskin tegar tercicir

Zahir Hassan berkata sesi libat urus program Pembasmian Miskin Tegar membolehkan semakan nama isi rumah miskin tegar dibuat agar tiada yang tercicir.

Zahir Hassan berkata bilangan isi rumah miskin tegar di Parlimen Wangsa Maju kini berkurangan kepada 71 isi rumah berbanding 124 sebelum ini.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Wangsa Maju Zahir Hassan berikrar mahu memastikan tiada isi rumah miskin tegar di kawasannya tercicir daripada program basmi kemiskinan kerajaan.

Ditemui di sesi libat urus program Pembasmian Miskin Tegar Kuala Lumpur 2023 peringkat Wangsa Waju, Setiawangsa, dan Titiwangsa di Pusat Komuniti Gombak, Zahir berkata acara hari ini membolehkan golongan sasaran menyemak nama dalam senarai data program Jabatan Wilayah Persekutuan itu.

“Kalau dulu mereka ada nama tercicir, bila datang sini mereka boleh semak. Sungguhpun senarai data itu telah melalui proses pemutihan tetapi kita nak pastikan sasaran kita di Kuala Lumpur akhir tahun ini miskin tegar sifar,” katanya kepada pemberita.

Zahir berkata selepas pemutihan data dijalankan, pihaknya mendapati bilangan isi rumah miskin tegar di Wangsa Maju berkurangan daripada 124 isi rumah kepada hanya 71 isi rumah.

Beliau memberitahu pemberita bahawa Wangsa Maju merupakan kawasan Parlimen dengan kepadatan penduduk tertinggi.

“Maknanya setiap kilometer persegi itu mempunyai 13,234 penduduk, bertapa padatnya kawasan,” katanya.

Melalui program hari ini, Zahir hendak pastikan “semua isi rumah miskin tegar tidak ketinggalan”.

Selain program libat urus, pejabat beliau turut menganjurkan dialog awam setiap tiga bulan sekali bagi mendengar permasalahan penduduk untuk diambil tindakan, katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.