
Pengerusi Bersama Yayasan MyAQSA, Lukman Sheriff Alias, berkata pertubuhan itu bekerjasama dengan Kedutaan Palestin di Malaysia dan mengumpul bukti daripada lawatannya ke Gaza baru-baru ini.
Beliau menjangkakan laporan bersama bukti itu akan diserahkan akhir bulan ini.
“Pasukan undang-undang kami akan menemui pendakwa raya di Hague, Belanda sendiri dalam masa terdekat untuk menyerahkan dokumen dan bukti disediakan, dengan harapan dapat mempercepatkan tindakan terhadap kezaliman rejim zionis Israel,” katanya dalam sidang media di Kedutaan Palestin.
Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali, berkata siasatan berterusan ICC turut dibincangkan anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dalam mesyuarat di Jeddah, Arab Saudi, bulan lalu.
“Kerajaan Malaysia dan kedutaan menyokong usaha MyAQSA membawa jenayah perang Israel ke ICC.”
Pada 13 Okt lalu, Reuters memetik Pendakwa Raya Tertinggi ICC, Karim Khan sebagai berkata ICC mempunyai bidang kuasa ke atas potensi jenayah perang dilakukan Israel dan Hamas, walaupun rejim Zionis tidak menandatangani Statut Rom.
Sejak 2021, mahkamah menjalankan siasatan berterusan di wilayah Palestin yang diduduki Israel untuk menyiasat potensi jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan. Tetapi, Israel tidak mengiktiraf kuasa mahkamah.
Mengenai keputusan Dewan Perwakilan Amerika Syarikat meluluskan rang undang-undang (RUU) menyekat entiti asing menyokong Hamas dan gerakan Jihad Islam, Walid berkata, “Israel tidak akan dapat apa mereka mahu” dan Palestin “akan terus bertahan”.
Beliau yakin dengan sokongan tidak berbelah bahagi Malaysia terhadap perjuangan Palestin.
“Malaysia menjadi penyokong besar perjuangan Palestin selama beberapa dekad dan akan meneruskan sokongannya kepada Palestin.”
Terdahulu, Menteri Luar, Zambry Abdul Kadir, hari ini mengesahkan kerajaan memantau kandungan RUU yang diluluskan Dewan Perwakilan AS pada Rabu.
RUU itu menyatakan kerajaan asing dan entiti lain yang memberi sokongan material kepada Hamas akan berdepan sekatan terhadap bantuan AS dan institusi kewangan antarabangsa serta eksport senjata selama setahun.