
Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (Samenta) William Ng berkata, menggalakkan penggunaan BM dalam urusan surat menyurat antara perniagaan tempatan dengan kerajaan ialah suatu langkah positif, tetapi tidak patut diwajibkan.
“Perniagaan akan terus beroperasi seperti biasa dengan lebih banyak menggunakan bahasa Inggeris, tetapi mewajibkan komunikasi hanya dalam BM ketika berurusan dengan kerajaan mungkin menjejaskan kedudukan kita dari segi indeks menjalankan perniagaan, kerana ia indeks persepsi,” katanya kepada FMT.
Indeks menjalankan perniagaan yang diterbitkan secara tahunan oleh Bank Dunia menarafkan negara-negara berdasarkan sejauh mana persekitaran regulatori kondusif bagi operasi perniagaan.
Ng berkata, menguatkuasakan dasar itu mungkin menjejaskan syarikat tempatan yang mempunyai CEO warga asing, selain yang mempunyai pelabur asing.
“Ada perkara lebih bagus disampaikan dalam bahasa Inggeris seterusnya tidak praktikal untuk diterjemahkan melainkan syarikat terlibat mempunyai penterjemah profesional atau pekerja yang mahir dalam kedua-dua bahasa,” katanya.
Minggu lepas, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengingatkan supaya urusan surat-menyurat bagi semua syarikat dan universiti dengan agensi kerajaan menggunakan bahasa kebangsaan, dengan surat yang menggunakan bahasa lain akan dipulangkan kepada penghantarnya.
Anwar berkata, entiti tempatan patut mempertahankan BM sebagai bahasa kebangsaan seperti termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.
Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal memuji keputusan berhubung penggunaan BM itu, tetapi berkata ia tidak wajar diwajibkan.
“Saya rasa ia tidak patut diwajibkan untuk perniagaan kerana mereka patut diberi kelonggaran untuk memudahkan operasi, terutama memandangkan kita dalam proses pemulihan ekonomi,” kata Wan Fayhsal kepada FMT, dengan menambah penarafan tinggi dalam indeks menjalankan perniagaan penting bagi menarik pelabur asing.
Sementara itu, perunding perniagaan antarabangsa Azran Deraman percaya dasar itu hanya melibatkan syarikat dan universiti tempatan, dan mungkin tidak menjejaskan pelabur asing.
Azran, bekas pengarah wilayah timur bagi kementerian perdagangan antarabangsa dan industri berkata, pelaksanaan dasar seperti itu sepatutnya telah lama dilakukan kerana mampu menggalakkan kefasihan menggunakan bahasa kebangsaan.
“Faktor utama yang mendorong pelabur asing ke negara ini termasuk dasar percukaian, ketersediaan tenaga kerja, sokongan kerajaan, dan prasarana sesebuah negara, termasuk utiliti dan keterhubungan,” katanya kepada FMT.
Katanya, urusan surat-menyurat menggunakan bahasa tempatan biasa dilakukan di negara maju termasuk Jepun, dengan ekonomi di negara-negara tesebut terus berkembang.
“Jadi tidak tepat mencadangkan dasar ini akan memberikan isyarat negatif dan menyekat pelabur asing,” katanya.