
Menurut Johan Ali, 55, anak tunggalnya itu, Mohammad Adam Dani sudah beberapa kali meminta izin mengikutnya ke laut untuk memancing, namun dia tidak membenarkan kerana keadaan kurang sesuai selain sering memancing pada waktu malam.
Johan berkata bagaimanapun semalam dia menuruti permintaan Mohammad Adam Dani memandangkan waktu memancing adalah siang.
“Pada mulanya saya tidak mengizinkannya, namun kerana telah beberapa kali meminta selain arwah sendiri juga minat memancing, akhirnya saya akur dengan permintaan untuk membawanya bersama.
“Sebelum ini, arwah hanya memancing di kawasan sekitar rumah sahaja, kebiasaannya di parit dan anak sungai,” katanya kepada pemberita di Unit Perubatan Forensik, Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di sini hari ini.
Johan berkata pemergian Adam cukup dirasai kerana Allahyarham satu-satunya penyeri hidupnya dan isteri, Marzalina Yusof, 40.
“Perkara yang akan paling saya ingati ialah arwah merupakan seorang anak yang taat kepada kami, selain rajin solat dan sering mengajak saya dan isteri untuk solat berjemaah,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Batu Pahat Ismail Dollah mengesahkan pihaknya menerima laporan kira-kira 6.30 petang semalam yang menyatakan kanak-kanak lelaki telah terjatuh ke laut.
Beliau berkata mangsa yang mengikut bapanya memancing telah berteduh di sebuah pondok di kelong kira-kira 60 meter dari lokasi bapanya memancing, sebelum didapati hilang pada 5.30 petang, semalam.
“Bapa mangsa percaya anaknya telah terjatuh ke laut dan terus ke Balai Polis Senggarang bagi membuat laporan. Operasi mencari dan menyelamat dijalankan oleh pasukan polis dan bomba dengan bantuan orang awam.
“Mayat berjaya dijumpai pada 9.15 malam dan dibawa ke HSNI untuk bedah siasat,” katanya menambah kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.