Pempengaruh dipenjara sehari curi penyangkut baju, ubat gigi

Pempengaruh dipenjara sehari curi penyangkut baju, ubat gigi

Rumaisyah Yahya mengaku bersalah mencuri barangan berjumlah RM108.18 di sebuah pasar raya di pusat beli-belah Suria KLCC semalam.

Majistret turut memerintahkan tertuduh dipenjara tiga hari jika gagal membayar denda. (Gambar Reuters)
KUALA LUMPUR:
Seorang pempengaruh media sosial dipenjara sehari dan didenda RM400 oleh Mahkamah Majistret kerana mencuri barangan bernilai lebih RM100 di sebuah pasar raya semalam.

Majistret Nurul Izzah Shaharuddin menjatuhkan hukuman itu terhadap Rumaisyah Yahya, 31, yang mengaku bersalah mencuri barangan antaranya penyangkut baju, ubat gigi dan minuman berjumlah RM108.18 di sebuah pasar raya di pusat beli-belah Suria KLCC, Jalan Ampang pada 4.30 petang semalam.

Pertuduhan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun serta boleh didenda, dan mereka boleh dipenjara serta didenda atau disebat bagi kesalahan kedua.

Mahkamah turut memerintahkan wanita itu dipenjara tiga hari, jika gagal membayar denda.

Mengikut fakta kes, tertuduh yang bekerja sebagai pengajar yoga mengambil beberapa barang lalu memasukkannya dalam begnya, namun dia tidak membuat pembayaran bagi barangan tersebut sebelum berjalan ke bahagian lain dan terus keluar dari pasar raya itu.

Tertuduh ditahan pengawal keselamatan dan pemeriksaan mendapati begnya mempunyai barangan milik pasar raya itu serta dia gagal mengemukakan resit pembelian.

Timbalan Pendakwa Raya, Sheryn Yong Shi Yee, memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh, namun peguam Muhammad Rhastdan Abdul Wahab mewakili tertuduh memohon hukuman berbentuk denda minimum atas alasan anak guamnya tiada pendapatan tetap dan menyara ibu 65 tahun yang menghidap darah tinggi.

“Ini merupakan kesalahan pertama tertuduh dan barang diambil hanyalah barang keperluan asas. Anak guam telah insaf dan mohon diberikan peluang kedua,” kata Rhastdan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.