Laporan polis Annuar kait DAP dengan rusuhan 13 Mei diklasifikasi NFA

Laporan polis Annuar kait DAP dengan rusuhan 13 Mei diklasifikasi NFA

Satu lagi laporan polis terhadap Sanusi Nor berhubung kenyataan bukan Islam paling ramai terima rasuah masih disiasat.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail tidak menyatakan alasan mengapa laporan polis Lim Lip Eng diklasifikasikan tiada tindakan lanjut. (Gambar Bernama )
PETALING JAYA:
Laporan polis yang dibuat terhadap Annuar Musa kerana mengaitkan veteran DAP Lim Kit Siang dan parti itu dengan rusuhan kaum 13 Mei 1969 diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) oleh Pejabat Peguam Negara.

Perkara itu disahkan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail dalam jawapan bertulis Parlimen kepada Lim Lip Eng (PH-Kepong), yang bertanyakan perkembangan dua laporan polis yang dibuatnya tahun ini.

Bagaimanapun, tiada alasan diberikan mengenai keputusan NFA itu.

Lip Eng membuat laporan polis terhadap Annuar yang kini bersama PAS pada 10 Julai tahun lalu, menggesa polis menyiasat beliau mengikut Seksyen 499, 504 dan 505(b) Kanun Keseksaan, Akta Hasutan dan undang-undang lain.

Saifuddin berkata laporan polis kedua Lip Eng berkait kenyataan Menteri Besar Kedah Sanusi Nor yang mendakwa orang bukan Islam paling ramai ditangkap kerana memberi dan menerima rasuah, masih disemak Peguam Negara.

“Siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Lip Eng membuat laporan polis terhadap Sanusi pada 14 Julai lalu, mendakwa kenyataan pemimpin PAS itu bersifat “rasis” dan hasutan.

Sanusi membuat dakwaan itu ketika menjadi tetamu podcast Keluar Sekejap, dengan berkata terdapat data menunjukkan orang bukan Islam paling ramai ditangkap kerana menerima dan memberi rasuah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.