Jangan kacau kami, kata Fadhlina berkait Minggu Solidariti Palestin

Jangan kacau kami, kata Fadhlina berkait Minggu Solidariti Palestin

Menteri pendidikan berkata pihaknya hanya menyahut seruan perdana menteri berhubung pendirian kerajaan untuk turut sama mempertahankan hak rakyat Palestin.

Fadhlina Sidek berkata program itu bertujuan mendidik murid berkaitan nilai manusiawi, kedamaian dan keamanan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek memberi amaran jangan mengganggu pihaknya dalam penganjuran Minggu Solidariti Palestin di sekolah selepas dikritik hebat sebelum ini.

Beliau berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) hanya menyahut seruan Perdana Menteri Anwar Ibrahim berhubung pendirian kerajaan untuk turut sama mempertahankan hak dan kebebasan rakyat Palestin.

“Jadi program ini bertujuan mendidik murid berkaitan nilai manusiawi, nilai kemanusiaan, pendidikan, kedamaian dan keamanan.

“Jangan kacau kami, jangan usik sekolah kami, jangan usik guru-guru kami… yang sana atau yang sini. Sama jangan usik,” katanya semasa penggulungan Belanjawan 2024 peringkat kementeriannya.

Sebelum ini, tular video berkaitan program di sebuah sekolah yang didakwa memaparkan unsur ekstremisme bagi menyuarakan sokongan kepada rakyat Palestin.

Video 55 saat itu menunjukkan seorang lelaki mengacukan senapang mainan ke arah pelajar sambil mengetuai sekumpulan guru mengibarkan bendera Palestin ketika perhimpunan.

Susulan itu pada 31 Okt lalu, KPM mengeluarkan arahan melarang penggunaan senjata dan unsur politik bagi penganjuran Minggu Solidariti Palestin di sekolah.

Terdahulu, Anwar dilaporkan menggesa kawalan ke atas program tersebut bagi mengelakkan sebarang isu.

Dalam pada itu, Fadhlina menggesa KPM diberi ruang untuk melaksanakan tanggungjawabnya dan mengutamakan proses pendidikan kemanusiaan.

“Beri ruang kepada kami sebagai satu proses fahami ia sebagai satu mesej penting untuk didik kemanusiaan. Sebab itu saya ambil semua pandangan dan kritikan dan saya dengar semua,” katanya.

Beliau juga berkata, program tersebut bukan mahu menunjukkan pihak mana yang paling hebat dalam isu Palestin.

“Anak-anak didedahkan seribu satu emosi dan memerlukan panduan serta pendoman ke arah lebih murni,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.