
Anwar yang juga menteri kewangan sebelum itu menyentuh penggunaan istilah “mahakaya” yang dikritik oleh beberapa Ahli Parlimen pembangkang ketika membahaskan Belanjawan 2024.
“Ini soal bahasa sedikit,(pembangkang bangkitkan) mana ada mahakaya, tak betul… maha itu istilah, mahasiswa boleh pulak, ada lagi istilah umpamanya, Mahathir,” kata Anwar yang menimbulkan gelak tawa di kalangan Ahli Parlimen.
Anwar turut merujuk penggunaan perkataan “maha” yang digunakan dalam beberapa perkataan seperti “maha mulia, maha suci, maha guru dan mahawangsa”.
“Ini (pembangkang) kena belajar bahasa,” katanya.
Terdahulu Anwar berkata, beliau tidak menentang mahakaya, bagaimanapun menegaskan kumpulan itu tidak seharusnya menerima subsidi.
“Orang kaya ini mahakaya kerana kategori ini tidak boleh boleh dapat sedekah dan subsidi.
“Bukan kita marah sebab dia kaya. Kita kata program subsidi diesel, minyak masak, dan ayam yang dapat manfaat pun golongan kaya,” katanya.
Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2024 pada 13 Okt lalu menggunakan istilah mahakaya, menyentuh ketirisan dan tanggungan subsidi yang turut dinikmati golongan kaya sekalipun barangan bersubsidi membantu rakyat meminimumkan kos sara hidup.